Perkhidmatan awam Tawau terus beroperasi ketika bekalan elektrik terganggu

TAWAU: Kebanyakan perkhidmatan awam di daerah ini beroperasi seperti biasa walaupun gangguan bekalan elektrik melanda Pantai Timur Sabah sejak pagi tadi. Tinjauan di beberapa premis kerajaan dan institusi perbankan mendapati operasi utama diteruskan dengan bantuan set generator (genset).
Di Hospital Tawau, perkhidmatan berkala berjalan seperti biasa dengan sokongan genset berkapasiti tinggi. Perkhidmatan kecemasan, termasuk penggunaan dewan bedah bagi kes kecemasan, turut tidak terjejas. Langkah penjimatan penggunaan elektrik dilaksanakan sepanjang gangguan itu.
Operasi di Bangunan Persekutuan Tawau, yang menempatkan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan, juga berjalan seperti biasa dengan bantuan genset sedia ada. Keadaan sama dilihat di pejabat Majlis Perbandaran Tawau, namun beberapa urusan rutin, termasuk pembayaran bil secara dalam talian, terjejas kerana sistem berkenaan tidak dapat beroperasi.
Perkhidmatan institusi perbankan secara umumnya tidak terjejas berikutan penggunaan genset, tetapi sebahagian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilaporkan mengalami gangguan. Dalam sektor perniagaan, beberapa premis restoran beroperasi dalam keadaan bergelap, manakala premis lain menggunakan genset untuk meneruskan operasi.
Terdahulu, Sabah Electricity memaklumkan gangguan yang bermula pada jam 6.04 pagi itu berpunca daripada insiden pada sistem penghantaran elektrik. Menurut kenyataan rasmi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) itu, Bilik Gerakan diaktifkan dan pasukan teknikal sedang menjalankan usaha pemulihan bekalan secara berperingkat di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
Punca sebenar kejadian masih dikenal pasti, manakala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.