Surat terbuka Julia Farhana beri bayangan perkahwinan berakhir

Sumber: Harian Metro
Surat terbuka Julia Farhana beri bayangan perkahwinan berakhir
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pelakon Julia Farhana Marin memberi gambaran ikatan perkahwinannya dengan Dr Che Muhammad Hafiz sudah terlerai menerusi surat terbuka yang dimuat naik di Instagramnya, semalam.

Dalam perkongsian itu, Julia, 32, mengucapkan terima kasih kepada Dr Che Hafiz atas segala usaha yang dilakukan sepanjang tempoh mereka bergelar suami isteri. Beliau turut mengakui sudah berusaha sedaya upaya untuk menjadi isteri terbaik.

“Terima kasih setulus hati atas segala masa yang dihabiskan dengan mencuba menjadi suami terbaik buat saya. Saya harap awak tahu bahawa saya juga sudah mencuba sedaya upaya untuk menjadi isteri terbaik buat awak,” tulisnya.

Julia berkata, mereka mungkin tidak melakukan semuanya dengan betul dan ada kalanya saling menyakiti tanpa sengaja. Namun, beliau berharap bekas pasangan itu tidak meragui keikhlasannya untuk menjayakan hubungan mereka.

Menurutnya, perpisahan adalah jalan terakhir yang terpaksa dipilih walaupun sukar diterima, selain menyifatkannya sebagai ketentuan takdir. Beliau berkata perceraian akhirnya menjadi satu-satunya jalan ke hadapan buat mereka berdua.

Julia turut berharap Dr Che Hafiz memaafkannya, sebagaimana beliau sudah berdamai dengan segala perkara dan memaafkan lelaki itu. Katanya, beliau tidak mahu membawa rasa dendam ke fasa seterusnya dalam kehidupan mereka.

Pelakon filem Ratu The Movie itu berkata, beliau sentiasa bersyukur atas kenangan, pengalaman dan pengajaran yang membentuk diri mereka sepanjang bersama, walaupun hubungan itu tidak sempurna.

Beliau turut mendoakan agar kehidupan Dr Che Hafiz dipenuhi kebahagiaan, ketenangan, kesihatan yang baik dan cinta yang membuatkannya berasa difahami serta dihargai. Julia juga berharap kedua-duanya dapat mencapai impian masing-masing dan menemui ketenangan yang mungkin tidak dapat mereka temukan bersama.

Dalam surat itu, Julia menegaskan mereka tidak perlu menoleh ke belakang dengan rasa pahit atau hanya mengingati kesilapan lalu. Katanya, mereka pernah saling memilih, membina kehidupan bersama dan mencuba dengan ikhlas.

“Saya rasa ada sesuatu yang wajar dihargai daripada semua itu, biarpun ‘selamanya’ kita ternyata lebih singkat daripada yang dibayangkan,” katanya.

Julia turut berterima kasih kerana Dr Che Hafiz menjadi sebahagian daripada hidup dan kisahnya. Beliau mendoakan agar Allah mengampuni kekurangan mereka, mempermudahkan urusan, menyembuhkan hati serta mengurniakan kebahagiaan kepada kedua-duanya dalam kehidupan mendatang.

Untuk rekod, Julia mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Muhammad Hafiz pada 14 Disember 2022. Kemelut rumah tangga mereka mula menjadi perhatian pada Mac lalu selepas pasangan itu dilihat tidak lagi berkongsi foto bersama dan saling tidak mengikuti akaun media sosial masing-masing.

Julia sebelum ini mengesahkan mereka sudah hampir setahun membawa haluan sendiri dan tidak bertemu selama tujuh bulan. Beliau turut memaklumkan keputusan untuk berpisah dibuat atas persetujuan bersama.

Pelakon Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu berkata urusan dokumentasi permohonan perceraian sudah selesai dan mereka hanya menunggu prosiding mahkamah. Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mendedahkan punca sebenar keretakan rumah tangga kerana tidak mahu bercerita daripada sebelah pihak sahaja.