Isu wanita memakai salib perlu ditangani dengan bimbingan, bukan kecaman

Sumber: Harian Metro
Isu wanita memakai salib perlu ditangani dengan bimbingan, bukan kecaman
Gambar: Harian Metro

Isu tular membabitkan seorang wanita yang didakwa beragama Islam, tetapi memaparkan dirinya memakai rantai salib, berada di gereja dan memakan makanan yang didakwa mengandungi daging babi, perlu diberikan perhatian serius, terutama dari sudut pemeliharaan akidah umat Islam.

Perkara itu lebih mengejutkan apabila wanita berkenaan didakwa membaca lafaz bismillah sebelum menikmati makanan tersebut. Dia juga dikatakan menjelaskan bahawa rantai salib itu sekadar aksesori dan dirinya masih beragama Islam.

Namun, perhatian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada perbuatan individu terbabit. Kesan kandungan sedemikian terhadap kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda yang terdedah kepada pelbagai pengaruh melalui media sosial, juga perlu diambil kira.

Pemakaian salib bukan semata-mata soal fesyen atau aksesori. Dalam Islam, salib ialah lambang khusus yang mempunyai kaitan langsung dengan kepercayaan agama Kristian. Oleh itu, seorang Muslim dilarang memakainya sebagai perhiasan, walaupun atas alasan mengikuti fesyen atau trend.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” (Riwayat Abu Dawud). Hadis itu menjadi peringatan supaya umat Islam tidak menyerupai syiar keagamaan yang bertentangan dengan akidah Islam.

Dakwaan bahawa salib dipakai sekadar sebagai aksesori tanpa mempercayai ajaran yang dilambangkannya tidak menjadikan perbuatan itu harus. Bagaimanapun, pemakaian salib juga tidak secara automatik menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam.

Penilaian terhadap status akidah seseorang memerlukan penelitian terhadap kepercayaan, niat, pengetahuan dan keadaan sebenar. Jika pemakaian itu disertai pengakuan atau penerimaan terhadap kepercayaan yang jelas bercanggah dengan tauhid, perkara itu boleh membawa implikasi serius terhadap akidah.

Membaca bismillah juga tidak menjadikan sesuatu yang diharamkan Allah SWT itu halal. Pengharaman daging babi dinyatakan secara jelas dalam firman Allah SWT: “Diharamkan kepada kamu bangkai, darah dan daging babi.” (Surah al-Ma'idah: 3)

Justeru, lafaz bismillah sebelum memakan makanan yang diharamkan tidak mengubah hukumnya. Lafaz itu ialah bentuk mengingati Allah SWT dan memohon keberkatan, bukannya cara untuk menukar ketetapan hukum syarak.

Jika benar seorang Muslim sengaja memakan daging babi tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak, perbuatan itu haram dan berdosa. Namun, perlu dibezakan antara melakukan perkara yang diharamkan dengan mengingkari hukum pengharamannya.

Seseorang yang melakukan maksiat tetapi tetap mengakui perbuatannya haram tidak boleh sewenang-wenangnya dihukum murtad. Sebaliknya, menghalalkan sesuatu yang diharamkan secara qat'i dan diketahui dengan pasti dalam agama boleh memberi kesan terhadap akidah, tertakluk kepada syarat serta penelitian hukum yang ditetapkan syarak.

Begitu juga, memasuki gereja tidak semestinya menyebabkan seorang Muslim terkeluar daripada Islam. Hukum berbuat demikian bergantung pada tujuan, keadaan dan aktiviti yang dilakukan di tempat berkenaan.

Urusan rasmi, lawatan pendidikan atau dialog antara agama tidak boleh disamakan dengan penyertaan dalam upacara penyembahan agama lain. Seseorang Muslim yang berdoa kepada Allah SWT ketika berada di gereja juga tidak semestinya melakukan kesalahan akidah hanya kerana lokasi itu.

Keadaan berbeza jika seseorang menyertai ritual yang mengandungi unsur penyembahan kepada selain Allah SWT atau melakukan perbuatan yang membawa maksud pengakuan terhadap kepercayaan bercanggah dengan tauhid. Perkara sedemikian ialah isu akidah yang serius. Masyarakat perlu membezakan antara berada di rumah ibadat agama lain dengan menyertai ritualnya.

Kecenderungan menghasilkan kandungan sensasi berkaitan agama demi menarik perhatian dan meningkatkan jumlah tontonan turut membimbangkan. Dalam dunia digital, sesuatu video boleh tersebar kepada ribuan, malah jutaan pengguna dalam masa singkat.

Jika perbuatan yang bercanggah dengan hukum Islam dipaparkan secara terbuka seolah-olah perkara biasa, ia boleh mengelirukan masyarakat, khususnya golongan muda. Keadaan itu juga boleh mendorong tanggapan bahawa seseorang yang mengaku Islam bebas melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan batas agama.

Pengakuan sebagai Muslim membawa tanggungjawab untuk menghormati dan mematuhi ketetapan Allah SWT, meskipun seseorang mungkin mempunyai kelemahan dalam pengamalan agama. Kebebasan individu dan kebebasan menghasilkan kandungan media sosial tidak wajar dijadikan alasan untuk mempermainkan hukum agama atau mempersendakan perkara berkaitan akidah.

Dalam menangani isu ini, masyarakat juga perlu mengelakkan tindakan terburu-buru melabel seseorang sebagai kafir atau murtad. Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana seseorang yang berkata kepada saudaranya: Wahai kafir, maka tuduhan itu akan kembali kepada salah seorang daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis berkenaan menunjukkan beratnya perbuatan mengkafirkan seorang Muslim tanpa asas yang benar. Dalam disiplin akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, terdapat perbezaan antara menghukum sesuatu perkataan atau perbuatan sebagai kufur dengan menentukan individu tertentu sebagai kafir.

Penentuan terhadap seseorang memerlukan penelitian terhadap syarat dan halangan takfir, termasuk pengetahuan, kesengajaan, kefahaman, kemungkinan paksaan serta keadaan individu itu. Masyarakat tidak sepatutnya mengambil alih peranan pihak berautoriti dengan menentukan status agama seseorang hanya berdasarkan rakaman video yang tersebar.

Mufti Pulau Pinang berpandangan pihak berkuasa agama negeri yang berkaitan wajar meneliti isu itu dan mendapatkan penjelasan individu terbabit jika terdapat asas munasabah. Langkah berkenaan bukan untuk menghukum secara terburu-buru, sebaliknya bagi mendapatkan gambaran sebenar, mengenal pasti kemungkinan kekeliruan akidah dan memberikan bimbingan bersesuaian.

Jika individu itu masih mengakui dirinya Muslim, ruang untuk memberikan nasihat, pendidikan dan bimbingan agama perlu diutamakan. Pada masa sama, jika pelanggaran undang-undang terbukti, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan yang berkuat kuasa serta melalui proses yang adil.

Masyarakat pula tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada isu itu untuk menghina, mencaci, mengugut atau menyebarkan tuduhan yang belum dipastikan kebenarannya.