Kumpulan pemesejan jadi perangkap sindiket pelaburan palsu

KUALA LUMPUR: Aplikasi pemesejan digital digunakan sindiket penipuan sebagai saluran memancing mangsa pelaburan tidak wujud, dengan orang awam dimasukkan ke dalam kumpulan tanpa kebenaran sebelum dipujuk menyerahkan wang.
Pengurus Besar, Perlindungan dan Literasi Pelabur, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Jawahar Ali Ameer Ali berkata, sindiket memaparkan perbualan yang memberi gambaran ahli kumpulan lain berjaya meraih keuntungan besar daripada sesuatu pelaburan.
Beliau berkata, kumpulan itu mungkin mempunyai kira-kira 100 ahli, namun sebahagian besar dipercayai individu yang berkaitan dengan sindiket dan bekerjasama meyakinkan mangsa.
“Kadang-kadang kita tiba-tiba dimasukkan dalam grup yang kita tidak kenal. Dalam itu ada beberapa orang berbual dan mengatakan sesuatu pelaburan itu bagus serta boleh memberikan pulangan tinggi.
“Apabila kita buat semakan, mungkin ada 100 orang dalam grup itu, tetapi kebanyakan atau hampir semua yang lain adalah ahli skim berkenaan dan mungkin hanya seorang yang benar-benar menjadi mangsa,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Harian Metro, baru-baru ini.
Jawahar Ali berkata, pentadbir kumpulan turut menggunakan janji manis, termasuk mendakwa mereka sudah membantu ramai orang memperoleh keuntungan berlipat ganda. Antara umpan yang digunakan ialah tawaran pulangan luar biasa, seperti pelaburan RM1,000 yang kononnya boleh menghasilkan RM10,000 dalam beberapa jam atau keuntungan sehingga 300 peratus dalam sehari.
Katanya, sindiket mendakwa wang pelabur akan dimasukkan ke dalam mata wang kripto, saham luar negara atau produk pelaburan tertentu. Bagaimanapun, pelaburan atau produk yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud.
“Pulangan seperti 300 peratus dalam masa satu hari atau beberapa jam adalah sesuatu yang tidak masuk akal, tetapi mereka tetap menggunakannya untuk menarik mangsa,” katanya.
Beliau berkata, penipuan pelaburan tidak hanya menyasarkan individu yang kurang berpengetahuan mengenai kewangan. Aduan yang diterima SC menunjukkan mangsa turut terdiri daripada golongan profesional, pelajar, warga emas dan golongan muda.
“Sesiapa saja boleh menjadi mangsa scam. Ia membabitkan pelbagai usia dan juga latar belakang,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan tawaran yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam tempoh singkat. Mereka juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai testimoni atau perbualan dalam kumpulan media sosial dan membuat semakan sebelum menyerahkan wang.
“Kalau tawaran itu terlalu baik untuk dipercayai, kita perlu berhati-hati dan buat semakan terlebih dahulu sebelum menyerahkan sebarang wang,” katanya.
Jawahar Ali turut berkongsi formula T.I.P.U. untuk membantu pelabur menilai tawaran, iaitu ‘T’ bagi ‘Tidak akan rugi’, ‘I’ bagi ‘Indah khabar dari rupa’, ‘P’ bagi ‘Peluang hanya sekali’ dan ‘U’ bagi ‘Untung besar’. Katanya, tawaran yang mempunyai satu atau semua ciri itu berkemungkinan besar penipuan.