KKM gerak operasi bersepadu susulan isu tikus makan tauge di Pasar Pudu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyelaras operasi penguatkuasaan bersepadu bersama beberapa agensi susulan kejadian tikus berkeliaran dan makan tauge di sebuah premis di Pasar Pudu, baru-baru ini.
Agensi yang terbabit dalam operasi itu ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam kenyataan, KKM berkata operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pematuhan kebersihan premis, amalan pengendalian makanan, penyimpanan bahan mentah, risiko pencemaran silang dan keberkesanan kawalan makhluk perosak. Sebarang ketidakpatuhan yang dikenal pasti akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
KKM turut mempergiat pemantauan dan tindakan susulan bagi memastikan langkah pembetulan dilaksanakan dengan berkesan serta mengelakkan kejadian sama berulang. Penyelarasan dengan DBKL juga akan diperkukuh supaya kebersihan persekitaran pasar, pengurusan sisa dan kawalan populasi tikus diberi perhatian menyeluruh.
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL) sudah menjalankan tinjauan awal di lokasi itu dan mendapati isu yang dibangkitkan adalah berasas. KKM mengingatkan peniaga supaya memastikan premis bebas daripada haiwan perosak, seperti ditetapkan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Kompaun boleh dikenakan bagi kesalahan berkenaan.
Kenyataan itu memaklumkan premis yang keadaannya boleh membahayakan kesihatan boleh diarahkan tutup serta-merta sehingga 14 hari di bawah Akta Makanan 1983. Peniaga juga wajib memastikan premis sentiasa bersih, menyimpan makanan dalam bekas bertutup, menguruskan sampah dengan baik dan menjalankan kawalan tikus secara berkala.
“Sebarang makanan yang terdedah kepada tikus atau disyaki tercemar hendaklah dibuang dan tidak dijual atau digunakan untuk penyediaan makanan,” menurut kenyataan itu.
KKM turut menasihatkan pengguna memilih makanan bersih yang disimpan dalam bekas bertutup dan terlindung daripada haiwan perosak. Bahan mentah pula perlu dibasuh menggunakan air bersih yang mengalir dan dimasak sempurna sebelum dimakan. Aduan boleh dikemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di moh.spab.gov.my atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
Minggu lalu, video yang dikongsi pengguna media sosial memaparkan tikus berkeliaran dan makan tauge di sebuah premis di Pasar Pudu. Rakaman itu turut menunjukkan beberapa tikus didakwa berada di atas tong berisi tauge dan memakannya.