Tevez harap Messi dan Ronaldo beraksi bersama dalam perlawanan penghormatan

BUENOS AIRES: Lionel Messi akan menyertai perlawanan penghormatan buat bekas penyerang Argentina, Carlos Tevez, di Stadium La Bombonera pada 20 Disember ini, manakala Tevez yakin Cristiano Ronaldo turut akan beraksi.
Tevez, 42, dijadual menganjurkan perlawanan itu di Buenos Aires bulan depan. Beliau pernah bergandingan dengan Messi dalam skuad kebangsaan Argentina dan bermain bersama Ronaldo ketika kedua-duanya menyarung jersi Manchester United.
Jika Ronaldo turut menyertai perlawanan itu, beliau dan Messi berpotensi beraksi dalam pasukan sama buat kali pertama. Kedua-duanya sebelum ini sering menjadi seteru di atas padang, khususnya ketika Messi bersama Barcelona dan Ronaldo bersama Real Madrid dalam pertembungan El Clasico.
Messi kini berusia 39 tahun, manakala Ronaldo 41 tahun. Kedua-dua pemain itu mewarnai era bola sepak moden menerusi persaingan mereka di peringkat kelab dan antarabangsa.
Tevez memulakan karier bersama Boca Juniors sebelum kembali menyertai kelab itu pada 2018. Beliau mengumumkan persaraan daripada bola sepak empat tahun kemudian.
Antara nama besar lain yang dijadual memeriahkan perlawanan itu ialah bekas penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon; bekas pemain tengah Argentina, Juan Roman Riquelme; dan bekas pertahanan tengah England, Rio Ferdinand.