Semak kesahihan tawaran pelaburan sebelum menyerahkan wang

Sumber: Harian Metro
Semak kesahihan tawaran pelaburan sebelum menyerahkan wang
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyerahkan wang semata-mata kerana tertarik dengan tawaran pelaburan, sebaliknya menyemak terlebih dahulu kesahihan syarikat atau platform yang menawarkan peluang berkenaan.

Pengurus Besar, Perlindungan dan Literasi Pelabur, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Jawahar Ali Ameer Ali berkata, pelaburan sepatutnya dibuat hanya melalui syarikat yang dilesenkan atau berdaftar dengan suruhanjaya itu.

Katanya, orang ramai boleh menggunakan portal Investment Checker atau Semak Sebelum Labur untuk menyemak status syarikat atau individu sebelum membuat keputusan.

“Portal ini seperti enjin carian. Kita boleh masukkan nama syarikat atau individu dan melihat sama ada mereka sah dilesenkan oleh SC atau tidak.

“Pelabur juga boleh menyemak sama ada syarikat itu dimasukkan dalam Senarai Amaran Pelabur,” katanya.

SC turut menyenaraikan entiti yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen atau mempunyai aktiviti penipuan dalam Senarai Amaran Pelabur sebagai peringatan kepada orang ramai.

Jawahar berkata, semakan melalui portal itu dapat membantu pelabur memastikan tawaran yang diterima benar-benar sah. Berurusan dengan entiti yang dilesenkan atau berdaftar juga menyediakan perlindungan serta saluran sewajarnya sekiranya timbul pertikaian.

Katanya, keadaan boleh berbeza apabila seseorang berdagang melalui platform luar negara atau entiti yang tidak dikawal selia. Pelabur mungkin tidak mengetahui pihak yang perlu dirujuk jika berlaku masalah.

“Kalau kita buat trading dengan satu syarikat yang tidak dikawal selia, apabila berlaku masalah, kita mungkin tidak tahu hendak pergi ke mana.

“Tetapi, apabila kita berurusan dengan syarikat yang dilesenkan atau didaftarkan, terdapat saluran untuk membuat aduan dan mendapatkan penyelesaian sekiranya berlaku sebarang pertikaian,” katanya.

Beliau berkata, pasaran modal bukan hanya merangkumi saham, malah turut menawarkan produk sah dan dikawal selia seperti aset digital, pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) serta pembiayaan antara rakan setara (P2P).

Namun, pelabur perlu memahami ciri produk berkenaan dan menilai sama ada ia sesuai dengan tahap risiko yang sanggup ditanggung. “Apabila kita membuat pelaburan, kita kena faham sama ada produk itu sesuai dengan kita dan serasi dengan tahap risiko yang kita sanggup ambil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah, Kumpulan Komersial dan Liputan Pasaran Bursa Malaysia, Stephanie Tan Kar Mun berkata, media sosial boleh menjadi sumber maklumat pelaburan, tetapi tidak sepatutnya menggantikan penyelidikan serta semakan maklumat rasmi.

Beliau berkata, pelabur perlu meneliti pengumuman syarikat dan maklumat rasmi lain supaya keputusan dibuat berdasarkan fakta, bukan semata-mata cadangan yang tular di media sosial. Individu, syarikat atau platform yang menawarkan peluang pelaburan juga perlu disahkan sah, berlesen dan diberi kuasa sebelum wang diserahkan.

“Media sosial boleh menjadi salah satu sumber maklumat, tetapi tidak seharusnya menggantikan penyelidikan, semakan dan pertimbangan peribadi yang sewajarnya.

“Pelabur perlu membuat kajian sendiri dan menyemak maklumat rasmi sebelum membuat keputusan pelaburan,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Stephanie berkata, usaha menangani penipuan pelaburan memerlukan kerjasama pelbagai pihak dalam ekosistem pasaran modal, bukan hanya Bursa Malaysia. Bursa Malaysia akan terus bekerjasama dengan SC, pihak berkuasa berkaitan, pemain industri dan platform digital untuk menangani risiko penipuan serta meningkatkan kesedaran pelabur.

“Pada masa sama, pelabur sendiri kekal sebagai salah satu benteng pertahanan yang penting kerana mereka perlu berwaspada, membuat semakan dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang mencurigakan,” katanya.

Bursa Malaysia turut menyediakan sumber seperti Investor Alert dan Bursa Assist bagi membantu pelabur mengenal pasti potensi penipuan serta mendapatkan panduan berkaitan pelaburan. Pelabur juga disaran membuat penyelidikan, menyemak maklumat dan melaporkan pendekatan pelaburan yang mencurigakan.