Pembeli rumah pertama perlu ukur kemampuan sebelum jadikan aset pelaburan

Membeli rumah pertama memerlukan perancangan kewangan yang teliti, khususnya bagi golongan muda yang mahu menjadikannya aset sewaan. Pengalaman Muhammad Syazani Yajid, 28, yang membeli apartmen di Ayer Keroh, Melaka, dan Norzulaika Mazeri, 26, yang membeli rumah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, menunjukkan pemilik perlu menimbang komitmen, kos persediaan serta risiko sebelum membuat keputusan.
Bagi sesetengah pembeli, rumah pertama bukan semestinya kediaman untuk diduduki sendiri. Hartanah boleh menjadi sumber pendapatan sewa dan pelaburan jangka panjang, namun pemilik perlu mengambil kira pemilihan lokasi, kadar sewa pasaran, kos penyelenggaraan dan kemungkinan rumah tidak disewa.
Muhammad Syazani, seorang pekerja swasta yang kini menetap di Johor, membeli apartmen itu kira-kira tiga tahun lalu pada harga RM360,000. Sejak awal, dia merancang menjadikannya aset pelaburan dan tidak pernah tinggal di situ.
Kediaman berkenaan pada mulanya dirancang sebagai inap desa kerana berpotensi memberikan pulangan lebih tinggi berbanding sewaan jangka panjang. Bagaimanapun, dia tidak dapat menguruskan operasi itu sendiri kerana bekerja di Singapura dan kekangan masa.
“Rancangan saya beli untuk saya buat homestay ('inap desa'). Sebab bila saya buat homestay, pendapatan itu lebih tinggi berbanding sewa, sepatutnya,” katanya.
“Tapi disebabkan saya bekerja jauh, saya tak ada masa untuk uruskan homestay itu dan saya perlu lantik sesiapa untuk uruskan, jadi saya putuskan untuk buat sewa.”
Komitmen bulanan pinjaman bagi apartmen itu sekitar RM1,600, sedangkan kadar sewa yang diterima sebelum ini kira-kira RM1,200. Perbezaan itu bermakna Muhammad Syazani perlu menambah wang sendiri untuk menampung sebahagian bayaran bulanan.
Walaupun begitu, dia melihat pembelian itu sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan jangka panjang. Rumah itu turut dilengkapi perabot dan kelengkapan asas, sekali gus memudahkan proses menyewakannya.
Pengalaman mengurus penyewa juga mengajarnya bahawa tanggungjawab membaiki kerosakan bergantung kepada puncanya. Jika berpunca daripada keadaan rumah, pemilik akan menguruskan pembaikan, manakala kerosakan akibat penyewa perlu ditanggung penyewa.
“Kalau penyewa mahu kita uruskan pembaikan itu pun boleh, tetapi mungkin ada tambahan sedikit pada bayaran sewa,” katanya.
Urusan sewaan turut membawa cabaran lain, termasuk perubahan rancangan penyewa, pengendalian deposit dan tempoh menunggu penyewa baharu. Muhammad Syazani pernah berdepan penyewa yang mahu menangguhkan tarikh masuk, selain urusan deposit yang belum selesai. Pengalaman itu membuatkan dia lebih menitikberatkan syarat sewaan.
Dia menyasarkan untuk menjual apartmen itu dalam tempoh kira-kira lima tahun dan menggunakan hasil jualan bagi merancang pembelian hartanah lain. Rumah ketiga yang dibeli kelak mungkin akan dijadikan kediaman sendiri.
Bagi pembeli yang mahu melabur, Muhammad Syazani menyarankan supaya tidak terus memilih rumah berharga tinggi. Sebagai contoh, dia lebih cenderung mencari flat berharga RM100,000 lebih di Johor Bahru terlebih dahulu.
Katanya, pembeli juga perlu menentukan keutamaan berdasarkan kemampuan, kerana sukar mendapatkan semua ciri yang diingini serentak, seperti lokasi strategik, harga berpatutan dan saiz kediaman yang besar.
Norzulaika, seorang lagi pekerja swasta, membeli rumah pertamanya di Bukit Jalil pada usia 25 tahun dengan harga RM300,000 menerusi program perumahan. Ketika itu, pendapatannya kurang RM3,000 sebulan.
Rumah tiga bilik itu pada mulanya dibeli untuk diduduki sendiri. Namun, lokasinya yang agak jauh dari tempat kerja mendorong Norzulaika mempertimbangkan untuk menyewakannya terlebih dahulu.
Komitmen bulanan rumah itu sekitar RM1,800 termasuk bayaran penyelenggaraan. Norzulaika masih menimbang sama ada mahu menyewakan keseluruhan rumah kepada keluarga atau menawarkan sewaan mengikut bilik, dengan setiap pilihan memerlukan kos persediaan berbeza.
“Kalau saya sewa kepada keluarga, kosnya agak rendah. Tapi kalau saya nak sewa mengikut bilik, saya perlu siapkan semua perabot. Jadi, itu kos pada saya pula,” katanya.
Rumah itu dijangka siap tahun depan dan sudah ada pihak yang bertanya mengenai sewaan. Namun, jika memilih untuk menyewakan bilik, kos menyediakan kelengkapan dianggarkan mencecah RM10,000.
Norzulaika memilih Bukit Jalil selepas meninjau lebih 10 ruang pameran rumah serta mempertimbangkan risiko banjir, akses dan lokasi. Harga kediaman itu kini dianggarkan meningkat kepada RM380,000.
Dalam proses membeli rumah, dia turut menyedari pentingnya memahami komitmen kewangan sebelum menandatangani perjanjian, termasuk bayaran faedah progresif sepanjang tempoh pembinaan.
“Saya sangat-sangat nasihatkan orang muda yang nak beli rumah pergi dulu kepada perunding kewangan. Saya baru tahu selepas tandatangan kontrak kita ada faedah yang perlu dibayar setiap bulan,” katanya.
Norzulaika berkata, pembeli perlu jelas tentang tujuan membeli rumah dan menilai kemampuan kewangan terlebih dahulu, bukannya membuat keputusan semata-mata kerana orang lain melakukannya atau mengikut trend.
“Bagi saya, jangan beli rumah semata-mata sebab orang lain buat atau ikut trend. Kita kena jelas tujuan membeli rumah itu, sama ada untuk pelaburan, diduduki sendiri atau persediaan sebelum berumah tangga,” katanya.