Sepanduk solidariti Palestin cetus kekecohan di Batumi

Sumber: Harian Metro
Sepanduk solidariti Palestin cetus kekecohan di Batumi
Gambar: Harian Metro

TBILISI: Aksi Liga Europa antara Besiktas dengan kelab Israel, Hapoel Beer-Sheva, dihentikan sementara pada minit ke-26 di Batumi, Georgia, awal pagi tadi selepas sepanduk pro-Palestin yang dipaparkan penyokong kelab Turkiye itu mencetuskan kekecohan.

Penyokong Besiktas mempamerkan sepanduk bertulis “Bangkit menentang penjajahan, kebebasan untuk Palestin”, mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan anti-Israel. Ketegangan kemudian berlaku apabila penyokong bertembung dengan polis, sebelum pihak berkuasa campur tangan untuk mengawal keadaan.

Kementerian Dalam Negeri Georgia memaklumkan tiga anggota polis cedera dan 16 individu ditahan susulan insiden itu. Menurut kementerian berkenaan, beberapa penyokong membaling kerusi stadium ke arah anggota keselamatan. Ia turut menegaskan tindakan polis bukan berpunca daripada paparan bendera atau sepanduk pro-Palestin.

Bagaimanapun, agensi berita DHA melaporkan polis menggunakan semburan lada terhadap penyokong dan beberapa individu memerlukan rawatan perubatan. Seorang kakitangan Besiktas memberitahu AFP bahawa lima penyokong sedang menerima rawatan di hospital.

Persatuan Bolasepak Turkiye (TFF) mengecam tindakan polis Georgia yang disifatkannya sebagai tidak boleh diterima. Besiktas pula mengesahkan sudah mengemukakan aduan kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berhubung dakwaan penggunaan kekerasan secara berlebihan.

Kelab itu berkata pihaknya bekerjasama dengan konsulat jeneral Turkiye di Batumi dan UEFA bagi menjaga keselamatan penyokong, termasuk sehingga mereka pulang ke negara asal. Selepas perlawanan, Hapoel Beer-Sheva turut meminta penyokongnya bertindak dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi arahan pihak keselamatan Georgia ketika meninggalkan stadium.

Insiden itu turut mendapat perhatian kerajaan Turkiye. Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, menghubungi rakan sejawatnya dari Georgia, Maka Botchorishvili, bagi membincangkan perkembangan berkenaan. Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, juga mengikuti situasi itu dan menghubungi Pengerusi Besiktas, Serdal Adali, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Perlawanan berkenaan dipindahkan dari Istanbul ke Georgia selepas pihak berkuasa Turkiye memaklumkan kepada UEFA bahawa faktor keselamatan tidak mengizinkan aksi itu berlangsung di negara berkenaan. Hubungan Turkiye dan Israel semakin tegang sejak perang di Gaza tercetus, manakala sepanduk dan laungan solidariti terhadap Palestin kerap dipaparkan penyokong bola sepak di Turkiye.

Galatasaray, Fenerbahce dan Trabzonspor turut menyatakan solidariti kepada Besiktas. Perlawanan yang dicemari insiden itu akhirnya berkesudahan dengan Besiktas menewaskan Hapoel Beer-Sheva 2-1.