Kesihatan amanah yang perlu dijaga, bukan sekadar bebas penyakit
SHAH ALAM – Menjaga kesihatan bukan sekadar mengelakkan penyakit, sebaliknya amanah ALLAH SWT yang perlu dipelihara sebagai tanggungjawab dan ibadah, kata Doktor Perubatan dan Pengamal Perubatan Nabawi, Dr Agus Rahmadi.
Beliau berkata, ajaran kesihatan Rasulullah SAW mencakupi aspek lebih luas daripada penggunaan bahan semula jadi seperti madu, habbatussauda, bekam dan kurma. Prinsip Kedokteran Nabawi turut menekankan kebersihan, kawalan pemakanan, rehat mencukupi, aktiviti fizikal serta penjagaan kesihatan spiritual.
Menurut Agus, prinsip kesihatan yang diajar Rasulullah SAW kekal relevan ketika masyarakat moden berdepan peningkatan penyakit tidak menular, termasuk obesiti, diabetes melitus, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan gangguan kesihatan mental.
Amalan menjaga kebersihan, melakukan aktiviti fizikal, mendapatkan rehat secukupnya serta mengekalkan keseimbangan kehidupan juga menyokong usaha pencegahan dan penjagaan kesihatan dalam perubatan moden, katanya.
Agus menegaskan, penggunaan rawatan moden seperti antibiotik, insulin atau pembedahan apabila diperlukan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, yang turut menganjurkan umatnya mendapatkan rawatan.
Beliau menyarankan umat Islam membudayakan amalan sunah seperti mengawal pemakanan, menjaga kebersihan, tidur secara teratur, berpuasa sunat mengikut kemampuan, melakukan aktiviti fizikal serta memperbanyak solat, zikir dan doa.
Bagaimanapun, setiap amalan perlu disesuaikan dengan keadaan individu. Pesakit diabetes yang menggunakan insulin atau ubat tertentu, misalnya, perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menjalani puasa sunat.
“Perubahan gaya hidup tidak semestinya bermula langkah besar, sebaliknya boleh dibentuk melalui amalan kecil secara konsisten,” katanya.
Kupasan lanjut Agus mengenai hubungan Kedokteran Nabawi dengan perubatan moden serta kepentingan menghayati sunah Rasulullah SAW dalam penjagaan kesihatan akan dibawakan menerusi Konvensyen My#HadithTime.
Program bertajuk *The Prophetic Wellness: Who Heals You?* itu akan diadakan pada 6 Disember depan di Setia City Convention Centre (SCCC).