850 ditahan, 620 didakwa kerana benarkan PATI tinggal di premis

Sumber: Harian Metro
850 ditahan, 620 didakwa kerana benarkan PATI tinggal di premis
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Seramai 850 individu ditahan dan 620 pendakwaan direkodkan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 sejak 2025 hingga 17 September lalu, berkaitan kesalahan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki atau tinggal di sesuatu premis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Jabatan Imigresen menerima 691 aduan berkaitan kediaman sepanjang 2025. Dalam tindakan penguatkuasaan bagi tempoh itu, seramai 8,453 PATI ditahan di premis kediaman.

“Dalam tempoh sama seramai 96 individu ditahan mengikut Seksyen 55E Akta 155, manakala sebanyak 391 pendakwaan direkodkan mengikut seksyen sama,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Bagi 2026 sehingga 17 September lalu, Imigresen menerima 109 aduan berkaitan kediaman dan menahan 6,581 PATI di premis kediaman. Dalam tempoh berkenaan, 131 individu ditahan mengikut Seksyen 55E, manakala 229 pendakwaan dilaksanakan.

Jawapan itu diberikan susulan pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta perincian jumlah aduan, pendakwaan dan tindakan terhadap pemilik atau penyewa rumah yang menyewakan premis kepada golongan Rohingya serta PATI lain.

Seksyen 55E Akta 155 melarang individu yang mempunyai kepentingan, pengurusan atau kawalan terhadap sesuatu premis daripada membenarkan PATI memasuki atau tinggal di situ.

Jika disabitkan, pesalah boleh didenda antara RM5,000 hingga RM30,000, dipenjara maksimum 12 bulan atau dikenakan kedua-duanya bagi setiap PATI yang ditemui di premis berkenaan. Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, dendanya antara RM10,000 hingga RM60,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI.

Saifuddin berkata kerajaan memandang serius perbuatan membenarkan PATI tinggal di mana-mana premis, termasuk kediaman yang disewakan. Imigresen akan terus mempergiat risikan, pemeriksaan premis dan operasi penguatkuasaan bersasar, selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati membenarkan PATI tinggal di premis di bawah pengurusan atau kawalan mereka.