Syafiq Kyle selesa bergerak di belakang tabir

Sumber: Harian Metro
Syafiq Kyle selesa bergerak di belakang tabir
Gambar: Harian Metro

Pelakon Syafiq Kyle memilih untuk tidak terlalu menonjolkan dirinya sebagai penerbit, meskipun drama bersiri terbitannya, Good Boys Go To Heaven, berjaya mendapat perhatian. Syafiq, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 34, berkata beliau masih mahu menimba ilmu dan lebih selesa melihat reaksi penonton terhadap karya yang dihasilkan. Beliau berkongsi perkara itu ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Syafiq mula berjinak-jinak dalam bidang penerbitan pada 2021. Katanya, matlamat utama beliau menerbitkan karya bukan untuk menghebahkan bahawa dirinya memegang peranan itu.

“Bagi saya, kadang-kadang orang tidak perlu tahu pun saya penerbit. Tujuan saya menjadi penerbit bukan mahu dikenali orang ramai, tetapi bila orang sudah tahu, Alhamdulillah,” katanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Tanah Kubur itu berkata, sikap tidak terlalu menonjol bukan bermaksud beliau enggan tampil ke hadapan. Sebaliknya, masih banyak perkara di sebalik tabir yang perlu dipelajarinya sebelum berasa selesa membawa peranan sebagai penerbit ke hadapan.

“Bukan saya tidak mahu ke depan, cuma banyak lagi perkara di belakang saya kena belajar yang membuatkan saya susah untuk ke depan. Insya-Allah selepas ini saya akan lagi ke depan dan tunjuk muka. Mungkin lain orang lain keselesaannya. Macam saya, saya lebih suka nak tengok reaksi penonton,” katanya.

Beliau mahu kekal merendah diri dalam bidang itu dan berkecimpung sebagai penerbit kerana ingin menghasilkan karya yang dapat dikawalnya sendiri. Syafiq juga berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang berbakat untuk bekerjasama dengannya.

“Kalau boleh saya mahu 'low profile' sahaja dalam bidang penerbitan ini. Saya jadi penerbit sebab saya nak buat 'barang' (karya seni) yang saya boleh kawal sendiri dan saya nak bawa barang kat dalam rumah saya sendiri yang saya tahu saya mampu untuk hasilkan,” katanya.

Menurutnya, beliau mungkin hanya akan lebih ke hadapan dalam bidang penerbitan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Syafiq berkata, beliau tidak pernah merancang untuk menjadi penerbit ketika mula memasuki industri seni.

Namun, selepas hampir lapan hingga sembilan tahun melalui proses sebagai pelakon, beliau mula terfikir untuk menghasilkan cerita mengikut kehendaknya. Syafiq pernah memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dalam Anugerah Skrin 2018 menerusi drama Nur.

Dalam pada itu, Syafiq berkata kekangan masa dan jadual kerja padat menjadi punca beliau jarang membintangi drama bersiri sejak kebelakangan ini. Beliau mengakui menerima tawaran daripada syarikat produksi, namun penggambaran yang boleh mengambil masa hampir enam bulan sukar disesuaikan dengan jadualnya.

“Kalau drama itu sebanyak 15 episod pun dah ambil masa panjang, apatah lagi bila drama itu 20 hingga 30 episod. Jadi, kadang-kadang masa itu tidak kena dengan jadual saya,” katanya.

Ada kalanya beliau menyediakan masa untuk berlakon drama, tetapi jadual yang ditetapkan pihak produksi pula tidak dapat diselaraskan. Syafiq berkata, setakat ini belum ada rezeki untuk kembali membintangi drama bersiri. Pelakon filem Malaikat Malam itu bakal muncul dalam filem terbaharu, Takluk 2: Op Daulat.