Kakak rayu bantuan kesan pelajar UKM yang hilang kira-kira lima minggu

ALOR SETAR: Seorang wanita merayu bantuan orang ramai untuk mengesan adik lelakinya, Muhammad Shafik Hidayat, 22, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dipercayai hilang sejak kira-kira lima minggu lalu.
Nur Fatihah Mat Daud, 33, dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, berkata dia mengetahui mengenai kehilangan adiknya kira-kira tiga hari lalu selepas menerima mesej yang tular di WhatsApp. Mesej itu memaklumkan Muhammad Shafik sudah lama tidak menghadiri kelas di UKM.
Katanya, pihak universiti turut menghubunginya berhubung perkembangan kehilangan itu, namun adiknya masih belum ditemui. Kali terakhir dia berhubung dengan Muhammad Shafik ialah pada 3 Oktober lalu, ketika menghantarnya menaiki bas untuk ke Kajang.
“Ketika itu, dia masih membalas mesej seperti biasa namun selepas itu, apabila saya cuba menghubunginya, ia sudah tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Nur Fatihah berkata adiknya tidak pernah berkongsi sebarang masalah dengannya. Dia menyangka Muhammad Shafik meneruskan pengajian seperti biasa dan berada dalam keadaan baik di universiti.
Menurutnya, mereka hanya dua beradik dan kehilangan kedua-dua ibu bapa kira-kira empat atau lima tahun lalu.
“Selepas kedua-dua ibu bapa kami meninggal dunia kira-kira empat, lima tahun lalu, saya hanya ada dia sahaja kerana kami dua beradik. Jadi, saya amat berharap agar adik saya dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Nur Fatihah berkata dia sudah membuat laporan polis, manakala pihak universiti turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat adiknya supaya tampil membantu atau menghubungi balai polis berhampiran.
Terdahulu, maklumat mengenai kehilangan pelajar Tahun Tiga, Fakulti Sains Citra UKM itu tular di media sosial. Pelajar berkenaan dilaporkan tidak hadir ke universiti selama kurang lima minggu. Pihak universiti sudah cuba menghubungi nombor telefonnya, namun panggilan tidak berjawab, dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat menghubungi universiti atau polis dengan segera.