Platform mesej digital berisiko dieksploitasi penjenayah siber

Sumber: Harian Metro
Platform mesej digital berisiko dieksploitasi penjenayah siber
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Platform mesej digital berisiko tinggi dieksploitasi penjenayah untuk menjalankan penipuan, berikutan ciri anonimiti, penyulitan data serta keupayaan mewujudkan saluran dan kumpulan berskala besar, kata Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin.

Beliau berkata pandangan dan pendekatan NACSA selari dengan realiti bahawa platform berkenaan terdedah kepada penyalahgunaan oleh penjenayah. Ciri yang ada membolehkan mereka menyembunyikan identiti dan menyebarkan umpan penipuan secara meluas tanpa kawalan langsung yang ketat.

Menurutnya, NACSA sentiasa berusaha memperkukuh dasar serta kerangka undang-undang bagi memastikan Malaysia berdaya tahan menghadapi ancaman siber semasa. Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang tidak lagi relevan.

Megat Zuhairy berkata, undang-undang baharu itu membolehkan pihak berkuasa mengenakan peruntukan dan hukuman lebih berat terhadap jenayah penyalahgunaan identiti digital, penipuan siber serta penyebaran kandungan manipulasi kecerdasan buatan (AI) tanpa kebenaran.

Katanya, pengukuhan undang-undang bersama pengenalan platform pengesahan identiti selamat seperti MyDigital ID menjadi tonggak strategi negara untuk memastikan ketahanan siber dan keselamatan repositori data peribadi rakyat terus terjamin.

Bagaimanapun, beliau berkata penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi canggih tidak mencukupi tanpa penglibatan aktif orang awam mengamalkan kebersihan siber. Pengguna disaran mengetatkan tetapan privasi akaun dan mengehadkan penyertaan kumpulan kepada senarai kenalan bagi mengelakkan mereka dimasukkan secara automatik ke dalam kumpulan penipuan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengaktifkan pengesahan dwifaktor pada setiap platform digital, berwaspada terhadap pautan atau tawaran mencurigakan dan tidak menyerahkan maklumat sensitif seperti kod OTP atau nombor kad pengenalan.

Menurutnya, penjenayah masih menggunakan manipulasi kejuruteraan sosial untuk memperdaya mangsa, walaupun kawalan teknikal keselamatan siber dilaksanakan. Mereka membentuk naratif supaya penipuan kelihatan tulen, termasuk helah pelaburan tidak wujud dan bayaran ke akaun tidak sah.

Megat Zuhairy menasihatkan pengguna mengamalkan prinsip percaya sifar dengan membuat pengesahan setiap kali melakukan transaksi, termasuk apabila berurusan dengan orang yang dikenali. Daya tahan siber negara, katanya, memerlukan kerajaan, penyedia perkhidmatan dan masyarakat melaksanakan tanggungjawab bersama.

Orang awam yang menjadi mangsa penipuan siber dinasihatkan membuat laporan segera kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 untuk tindakan selanjutnya.