Fauziah Ahmad Daud pegang amanah bakat, mahu hasilkan autobiografi

Pelakon versatil Fauziah Ahmad Daud menyifatkan Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya, baru-baru ini, sebagai antara detik paling indah dalam perjalanan seninya. Pengiktirafan itu diterimanya ketika beliau masih aktif berkarya dan menabur bakti dalam industri.
Fauziah, yang lebih mesra disapa Kak Ogy, berkata beliau tergamam selama 20 minit selepas dimaklumkan mengenai pemilihannya. Beliau pada mulanya menyangka ramai lagi penggiat seni yang lebih layak menerima anugerah berprestij itu.
“Apa yang paling bermakna adalah apabila anugerah ini diterima ketika kita masih bernafas, masih bernyawa dan dihargai. Itu perkara yang paling indah,” katanya.
Trofi khas itu melengkapkan pencapaian peribadi Fauziah di pentas FFM. Sebelum ini, beliau pernah memenangi kategori Bintang Harapan, Pelakon Wanita Terbaik sebanyak dua kali dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Anak kepada seniman legenda Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham Datin Saadiah itu berkata, pembabitannya dalam lakonan pada awalnya bukan didorong minat. Namun, bidang berkenaan akhirnya menjadi guru terbaik yang mengajarnya menyelami serta memahami jiwa manusia menerusi pelbagai watak.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Fauziah sentiasa mengingati pesanan ibu bapanya supaya menjaga bakat dengan penuh tanggungjawab. Katanya, mereka mengingatkan bahawa bakat bukan hak miliknya, sebaliknya anugerah Allah yang hanya dipinjamkan.
“Jikalau saya tidak menjaganya dengan betul-betul, Allah akan ambil balik. Pesanan itulah yang saya pegang hingga ke hari ini dan menyebabkan saya sentiasa berjaga-jaga,” katanya.
Pelakon filem ikonik Azura dan Ali Setan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap segelintir pelapis baharu yang dianggap mengambil mudah peluang dan memandang enteng kerjaya lakonan. Menurutnya, populariti tidak kekal dan rupa paras akan dimamah usia.
Beliau berpandangan pelakon generasi baharu perlu mempunyai disiplin tinggi, jujur dalam berkarya dan berupaya meneliti skrip dengan mendalam supaya terus relevan di hati penonton. Katanya, pelakon tidak sepatutnya menghakimi watak, sebaliknya perlu mencari sebab watak itu bertindak sedemikian.
Fauziah berkata, beliau pernah memperlahankan aktiviti lakonan selama dua tahun untuk memberi tumpuan kepada bengkel lakonan, dengan tujuan melahirkan pelakon yang berfikir.
Pengiktirafan FFM35 itu turut menyuntik semangat baharu untuk beliau merealisasikan hasrat menghasilkan buku autobiografi dalam masa terdekat. Buku berkenaan dirancang sebagai rujukan dan perkongsian pengalaman buat generasi pelapis industri seni tanah air.
Selain Fauziah, pelakon veteran Ahmad Yatim turut menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada FFM35.