Perlawanan Besiktas-Hapoel terhenti susulan insiden bendera Palestin

BATUMI: Perlawanan Liga Europa antara Besiktas dari Turkiye dengan Hapoel Beer-Sheva dari Israel di Batumi, Georgia, terhenti kira-kira 30 minit selepas polis bertembung dengan penyokong yang mengibarkan bendera Palestin. Insiden berlaku pada minit ke-26 ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan, sebelum permainan disambung semula dan Besiktas menang 2-1.
Media Turkiye melaporkan polis Georgia memasuki kawasan tempat duduk penyokong dan menggunakan semburan lada. Pengadil dari Denmark, Morten Krogh, kemudian menghentikan perlawanan.
Dalam kenyataan, Besiktas mengecam tindakan yang disifatkannya sebagai penggunaan kekerasan berlebihan terhadap penyokong kelab itu. Persekutuan Bola Sepak Turkiye turut mengutuk layanan terhadap penyokong Besiktas dan menggesa siasatan dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
Perlawanan itu dipindahkan ke Batumi selepas pihak berkuasa Turkiye memaklumkan Istanbul tidak dapat menjadi tuan rumah atas faktor keselamatan. Susulan insiden itu, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Mustafa Ciftci, dilaporkan menghubungi rakan sejawatnya dari Georgia bagi menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan terhadap penyokong Turkiye.
Beliau turut mahu memastikan kepulangan penyokong berkenaan berlangsung dengan selamat. Pihak berkuasa Georgia pula menyatakan bendera Palestin yang dibawa penyokong dirampas oleh pegawai UEFA, bukan oleh pihak berkuasa negara itu.
Beberapa kelab utama Turkiye, termasuk Fenerbahce dan Galatasaray, turut menyatakan sokongan kepada penyokong Besiktas yang terlibat dalam insiden berkenaan.