Lima penyokong Levski Sofia cedera dalam kekecohan di Velodrome

MARSEILLE: Lima penyokong Levski Sofia dikejarkan ke hospital selepas tercetus kekecohan membabitkan penyokong kelab itu dan Marseille di Stadium Velodrome, menjelang aksi Liga Europa awal pagi tadi.
Pergaduhan berlaku di kawasan tempat duduk sebelum sepak mula, dengan kedua-dua kumpulan dilaporkan saling membaling objek dan suar. Kira-kira 10 minit sebelum perlawanan bermula, beberapa penyokong Marseille dilihat meninggalkan tempat duduk mereka sebelum memasuki kawasan penyokong pelawat, yang menempatkan kira-kira 500 penyokong Levski Sofia.
Pihak berkuasa polis Marseille memaklumkan lima penyokong mengalami kecederaan, termasuk masalah pada mata, trauma di kepala dan bahu terkehel. Enam lagi menerima rawatan di lokasi kejadian. Semua mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai penyokong Levski Sofia, manakala setakat ini tiada maklumat mengenai tangkapan.
Pengendali Levski Sofia, Julio Velazquez, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dalam bola sepak dan melahirkan simpati terhadap penyokong yang terperangkap. Beliau turut berharap tiada kecederaan serius berlaku.
Kelab Marseille pula berkata pihaknya sedang berusaha mengenal pasti keadaan sebenar yang mencetuskan kekecohan itu. Keadaan berjaya dikawal petugas keselamatan dan perlawanan diteruskan mengikut jadual, walaupun beberapa insiden kecil berlaku lagi ketika rehat separuh masa.
Pengendali Marseille, Bruno Genesio, turut menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang amat dikesali dan mengaitkannya dengan peningkatan keganasan dalam masyarakat. Marseille akhirnya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Levski Sofia.