Penuntut UKM dipercayai hilang lima minggu, kakak rayu bantuan

ALOR SETAR: Seorang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Shafik Hidayat, 22, dipercayai hilang sejak kira-kira lima minggu lalu, mendorong kakaknya, Nur Fatihah Mat Daud, 33, bimbang akan keselamatannya.
Nur Fatihah, dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah, berkata dia hanya mengetahui adiknya hilang kira-kira tiga hari lalu selepas menerima mesej yang tular di WhatsApp. Mesej itu memaklumkan Muhammad Shafik sudah lama tidak hadir ke kelas.
Menurutnya, pihak universiti turut menghubunginya berhubung kehilangan itu, namun adiknya masih belum ditemui. Kali terakhir mereka berhubung adalah pada 3 Oktober lalu, ketika Nur Fatihah menghantar Muhammad Shafik menaiki bas ke Kajang.
“Ketika itu, dia masih membalas mesej seperti biasa..namun selepas itu, apabila saya cuba menghubunginya, ia sudah tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nur Fatihah berkata adiknya tidak pernah berkongsi sebarang masalah dengannya. Dia menyangka Muhammad Shafik meneruskan pengajian seperti biasa dan berada dalam keadaan baik di universiti.
Katanya, selepas kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia kira-kira empat atau lima tahun lalu, mereka hanya tinggal berdua. Nur Fatihah berharap adiknya dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat.
Dia berkata sudah membuat laporan polis, manakala pihak universiti memaklumkan mereka juga telah berbuat demikian. Nur Fatihah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat adiknya supaya membantu dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di media sosial makluman mengenai kehilangan pelajar Tahun Tiga, Fakulti Sains Citra UKM itu. Pelajar berkenaan dilaporkan tidak hadir ke universiti selama kurang lima minggu dan keberadaannya masih belum diketahui.
Pihak universiti telah cuba menghubungi nombor telefon Muhammad Shafik, namun panggilan tidak berjawab. Universiti turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya supaya menghubungi pihak universiti atau polis dengan segera.