Pemilik Manchester City boleh dipaksa jual pegangan kelab

Sumber: Sinar Harian

Pemilik Manchester City berdepan kemungkinan dipaksa menjual pegangan dalam kelab itu jika keputusan bersalah atas pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) kekal, menurut Pengerusi Pengawal Selia Bola Sepak Bebas (IFR), David Kogan.

Kogan berkata, IFR tidak akan gentar mengambil tindakan terhadap pemilik kelab itu, walaupun berdepan isu yang besar dan rumit. Badan berkenaan mempunyai kuasa bertindak terhadap pemilik serta pengarah kelab yang gagal memenuhi standard integriti dan tadbir urus.

Beliau menegaskan saiz serta reputasi Manchester City tidak akan mengecualikan kelab itu daripada tanggungjawab mematuhi peraturan bola sepak England.

“Jangan lihat nama kelab, saiz kelab atau skala isu yang dihadapi. Kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab berkanun hanya kerana sesebuah kelab itu mempunyai kedudukan besar,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IFR, Richard Monks, pula berkata pemilik yang didapati tidak lagi layak boleh diberi tempoh untuk menjual pegangan mereka. Jika jualan tidak diselesaikan dalam tempoh itu, pihak ketiga boleh dilantik untuk menguruskan proses berkenaan.

“Jika harga yang ditetapkan lebih rendah daripada nilai yang dikehendaki pemilik, maka itulah keadaannya,” katanya.

Pada September lalu, Manchester City didapati bersalah atas 114 pelanggaran peraturan kewangan EPL. Kelab itu mengemukakan rayuan dan menafikan sebarang salah laku.

Kes berkenaan berkaitan dakwaan pelanggaran peraturan kewangan selama beberapa musim dan menarik perhatian terhadap pengurusan kewangan kelab milik Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan.

Bagaimanapun, Kogan berkata sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang, bukan pengaruh politik atau kedudukan kelab dalam bola sepak England.