Pemandu 21 tahun ditahan selepas kebakaran lori tangki di Kaherah

Sumber: Astro Awani
Pemandu 21 tahun ditahan selepas kebakaran lori tangki di Kaherah
Gambar: Astro Awani

KAHERAH: Pihak pendakwa raya Mesir menahan seorang pemandu berusia 21 tahun untuk membantu siasatan kemalangan yang dipercayai mencetuskan kebakaran lori tangki bahan api di kawasan Al-Waraq, Giza, pada petang Rabu. Insiden ketika waktu puncak itu mengorbankan 31 orang.

Menurut pihak pendakwa, pemandu berkenaan disyaki melanggar lori tangki ketika cuba memotong kenderaan lain sebelum kehilangan kawalan. Pelanggaran itu menyebabkan lori tangki terbabas dan terbalik, sebelum terbakar.

Kebakaran tersebut turut memusnahkan 27 kenderaan, termasuk kereta dan motosikal. Pihak pendakwa mengarahkan suspek menjalani ujian forensik bagi menentukan sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

Menurut Reuters, pasukan forensik sedang menjalankan ujian DNA bagi mengenal pasti beberapa mangsa yang rentung dalam kebakaran itu. Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan 31 orang maut dan 26 lagi cedera.

Lima mangsa yang cedera sudah dibenarkan pulang, manakala selebihnya masih menerima rawatan di hospital. Presiden Abdel Fattah el-Sisi mengarahkan supaya bantuan perubatan penuh diberikan kepada mangsa yang cedera dan sokongan disalurkan kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Insiden itu mencetuskan semula perbahasan mengenai keselamatan jalan raya di Mesir. Beberapa ahli politik dan penggubal undang-undang menggesa tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.