Pelajar patah kaki kiri dalam kemalangan ketika ke sekolah untuk SPM

Sumber: Harian Metro
Pelajar patah kaki kiri dalam kemalangan ketika ke sekolah untuk SPM
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pelajar lelaki untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini tidak kesampaian selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bangsar Utama 1, di sini, pada 6.55 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Suffian Abdullah, berkata siasatan awal mendapati pelajar itu menunggang dari arah Pantai Dalam menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar ketika kejadian.

Menurutnya, kereta dipandu seorang wanita berusia 25 tahun dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan tanpa memberi laluan kepada motosikal berkenaan, menyebabkan kedua-dua kenderaan berlanggar.

“Penunggang motosikal patah kaki kiri dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suffian berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-20719999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.