Mangkuk porselin milik Marie-Antoinette dijual pada harga rekod US$3.1 juta

Sumber: New Straits Times
Mangkuk porselin milik Marie-Antoinette dijual pada harga rekod US$3.1 juta
Gambar: New Straits Times

PARIS: Sebuah cawan porselin berbentuk payudara yang pernah dimiliki Ratu Perancis, Marie-Antoinette, dijual pada harga rekod 2.9 juta euro (US$3.1 juta) dalam satu lelongan pada Khamis.

Karya dari penghujung abad ke-18 itu dihasilkan kilang porselin Sèvres yang terkenal. Cawan berkenaan lengkap dengan puting seramik berwarna merah jambu yang dibentuk pada permukaannya. Ia dipercayai hilang selama dua abad sebelum ditemui semula secara tidak sengaja dalam inventori Galeri Meyer di Paris.

Dikenali sebagai “jatte-teton”, yang bermaksud mangkuk puting, barangan itu ialah satu daripada empat keping seumpamanya yang pernah ditempah Raja Louis XVI untuk tempat penghasilan tenusu Marie-Antoinette di kediaman diraja di Rambouillet, barat daya ibu negara.

Hôtel Drouot, yang melelong cawan itu, berkata harga berkenaan merupakan rekod bagi barangan porselin Sèvres yang dijual melalui lelongan. Pihak pelelong sebelum ini menganggarkan cawan itu akan terjual pada harga antara satu juta hingga dua juta euro. Namun, identiti pembeli tidak didedahkan.

Marie-Antoinette, kerabat diraja kelahiran Austria, terkenal dengan perbelanjaan mewahnya. Gaya hidup itu turut menyumbang kepada kemerosotan pandangan masyarakat terhadap monarki sebelum beliau dihukum mati menggunakan guillotine pada Oktober 1793, ketika berusia 37 tahun.

Hôtel Drouot dan rumah lelong Coutau-Bégarie, yang menganjurkan jualan itu, memutuskan untuk menyumbangkan sebahagian hasil lelongan kepada badan amal kanser payudara Pink Ribbon.