Letupan gegar Sanaa, Riyadh pintas beberapa peluru berpandu

Sumber: Astro Awani
Letupan gegar Sanaa, Riyadh pintas beberapa peluru berpandu
Gambar: Astro Awani

SANAA: Satu letupan kuat menggegarkan ibu negara Yaman, Sanaa, pada Khamis ketika ketegangan serantau terus meningkat susulan konflik yang semakin meluas di Asia Barat.

Menurut laporan Al Jazeera, letupan itu berlaku di kawasan yang dikuasai kumpulan Houthi. Punca kejadian bagaimanapun belum dapat dipastikan, manakala tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas beberapa peluru berpandu yang dilancarkan ke arah ibu negara, Riyadh. Tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan dalam insiden itu.

Media yang dikendalikan Houthi mendakwa kumpulan tersebut melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan yang menyasarkan sekutu mereka di rantau berkenaan.

Ketegangan di rantau itu meningkat apabila kumpulan Houthi memperhebat serangan rentas sempadan sejak tercetusnya konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat serta sekutunya.

Al Jazeera turut melaporkan pihak berkuasa di beberapa negara Teluk meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan berikutan kebimbangan konflik itu boleh merebak dan menjejaskan kestabilan serantau.

Setakat ini, belum ada petunjuk keadaan akan reda dalam masa terdekat, dengan kedua-dua pihak terus bertukar ancaman dan melancarkan operasi ketenteraan masing-masing.