Leclerc nafi kontrak beri keutamaan berbanding Hamilton

Sumber: Harian Metro
Leclerc nafi kontrak beri keutamaan berbanding Hamilton
Gambar: Harian Metro

DOHA: Charles Leclerc menafikan beliau mempunyai status sebagai pemandu nombor satu Ferrari, ketika pasukan itu berusaha bangkit daripada prestasi mengecewakan pada Grand Prix (GP) Las Vegas menjelang perlumbaan di Qatar.

Pemandu Monaco berusia 29 tahun itu menjelaskan perkara berkenaan selepas satu podcast BBC mendakwa kontraknya mengandungi klausa yang memberinya keutamaan berbanding rakan sepasukan, Lewis Hamilton.

“Biasanya saya tidak pernah mendedahkan kandungan kontrak. Namun, perkara ini penting untuk dijelaskan kerana saya langsung tidak mempunyai klausa sedemikian dalam kontrak. Ia bukan sesuatu yang pernah saya minati atau mahukan secara peribadi,” katanya.

Dakwaan itu timbul selepas pertembungan Leclerc dan Hamilton di Las Vegas menjejaskan peluang Ferrari meraih podium. Insiden berkenaan mencetuskan kemarahan ketua pasukan, Fred Vasseur, yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima. Vasseur juga dikatakan mahu memperketatkan kawalan terhadap persaingan antara kedua-dua pemandunya.

Leclerc berkata kritikan dan perhatian media sebahagian daripada tugasnya, namun beliau menolak dakwaan bahawa tindakannya tidak mengutamakan kepentingan pasukan. Beliau mengakui terkesan apabila sikapnya dipersoalkan, tetapi menyifatkan sebahagian isu yang dibangkitkan sebagai keterlaluan.

“Satu-satunya perkara yang saya tidak suka ialah apabila integriti dan kasih sayang saya terhadap pasukan dipersoalkan. Saya bersama Ferrari sejak 2019 dan saya rasa tiada apa yang lebih jelas daripada kecintaan saya terhadap pasukan ini,” katanya.

Leclerc dan Hamilton beberapa kali terbabit dalam insiden di litar, termasuk di Monza dan Mexico sebelum pertembungan di Las Vegas. Dalam insiden terakhir itu, Leclerc dipersalahkan dan dikenakan penalti.

Kedua-dua pemandu turut berdepan kekecewaan susulan kemerosotan prestasi Ferrari, namun masing-masing mempertahankan Vasseur. Ketua pasukan itu mengadakan pertemuan bagi meredakan ketegangan selepas insiden di Mexico.

Leclerc menegaskan hubungannya dengan Hamilton tidak seteruk yang digambarkan media. “Segala-galanya diperbesar-besarkan. Saya sudah biasa dengan perkara ini selepas sekian lama memandu untuk Ferrari. Sebagai contoh, selepas perlumbaan di Mexico, kami sudah berbincang dan tiada masalah antara kami,” katanya.

Menjelang GP Qatar, Vasseur menetapkan sasaran supaya Ferrari memanfaatkan setiap aspek sepanjang hujung minggu perlumbaan bagi memastikan kedua-dua kereta mampu mencatat keputusan yang baik.