KPDN gubal RUU e-Dagang perkukuh tadbir urus platform

Sumber: Harian Metro
KPDN gubal RUU e-Dagang perkukuh tadbir urus platform
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang bagi memperkukuh tadbir urus perdagangan elektronik serta meningkatkan akauntabiliti pengendali platform.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata usaha itu turut merangkumi kebolehkesanan penjual, perlindungan pengguna, pematuhan undang-undang Malaysia dan penyediaan data yang lebih teratur kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, langkah berkenaan diperlukan bagi menangani jurang data transaksi rentas sempadan yang kini dikumpulkan daripada beberapa sumber berbeza. Setakat ini, belum ada set data bersepadu yang membolehkan kerajaan mengenal pasti secara khusus nilai dan jumlah transaksi pengguna tempatan dengan penjual luar negara, termasuk pecahan kategori barangan.

Menurutnya, data berkaitan merangkumi statistik e-dagang Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), data percukaian dan kemasukan barangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), serta rekod transaksi yang disimpan pengendali platform e-dagang.

Armizan menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai nilai dan jumlah transaksi e-dagang rentas sempadan yang membabitkan penjual luar negara bagi 2024 hingga kini, serta kategori barangan paling banyak dijual kepada pengguna Malaysia.

Berdasarkan statistik DOSM, jumlah keseluruhan pendapatan e-dagang Malaysia pada 2024 ialah RM1.288 trilion. Pendapatan e-dagang daripada pasaran antarabangsa pula berjumlah RM138.0 bilion, meningkat 5.2 peratus daripada RM131.1 bilion pada 2023.

Bagaimanapun, Armizan berkata, angka itu merangkumi keseluruhan pendapatan pasaran antarabangsa dan tidak secara khusus menunjukkan pembelian pengguna Malaysia daripada penjual luar negara. Perbelanjaan e-dagang pasaran antarabangsa pula direkodkan sebanyak RM44.9 bilion pada 2024, berbanding RM40.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, statistik berkenaan tidak dipecahkan mengikut transaksi perniagaan kepada pengguna (B2C) antara pengguna tempatan dengan penjual luar negara, negara asal penjual atau kategori barangan.

Dalam pada itu, kerajaan mempunyai mekanisme khusus bagi barangan bernilai rendah (LVG) berharga tidak melebihi RM500 yang dibeli dalam talian dari luar negara dan dibawa masuk ke Malaysia melalui darat, laut atau udara. Cukai jualan pada kadar 10 peratus bagi barangan berkenaan mula dikenakan oleh JKDM sejak 1 Januari 2024.

Armizan berkata, penggubalan RUU itu bertujuan memastikan perkembangan e-dagang rentas sempadan terus memberi manfaat, di samping menjamin perlindungan pengguna dan peniaga tempatan.