KJH 2026 di Stadium Merdeka tawar hiburan, aktiviti keluarga dan hadiah

Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 berlangsung selama tiga hari, dari 27 hingga 29 November ini, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dengan pelbagai aktiviti hiburan, komuniti dan pendidikan kewangan untuk pengunjung.
Edisi kali ini dianjurkan dengan kerjasama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). KJH, yang menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai ‘Longest Running Outdoor Carnival’, memasuki tahun penganjuran ke-23.
Selain persembahan artis dan aktiviti untuk seisi keluarga, pengunjung boleh mengikuti pengisian MSAM bagi mendalami pengetahuan mengenai pelaburan dan pengurusan kewangan. Kerjasama itu turut membawa dimensi baharu kepada acara berkenaan menerusi pendedahan tentang kepentingan perancangan kewangan.
Antara tarikan lain ialah cabutan bertuah yang menawarkan sebuah rumah teres dua tingkat di Suasana Bandar Ainsdale, Seremban, sebuah kereta elektrik (EV) dan pakej pelancongan bernilai RM50,000. Pengunjung yang memenuhi syarat penyertaan turut berpeluang memenangi hadiah harian, termasuk kereta, motosikal dan pakej percutian.
Pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan, antaranya Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, sesi Meet and Greet bersama pelakon drama serta personaliti TV3 dan TV9, Pertandingan Pakaian Tradisional Kanak-Kanak dan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, menyertai aktiviti zumba serta Jom Lokal Jam. Konsert Jom Heboh pula dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu dan Ahad, dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air.
Man Bai, Bella Astillah, Syamel, Ernie Zakri, Black Hanifah, Kristal X, K.O.I, Drama Band, Mary Grace, Kai Deva dan Floor 88 antara artis yang bakal membuat persembahan selama dua malam. Konsert itu akan dihoskan oleh Kieran, Keymi, Fizi Ali dan Muaz.
Lebih daripada 150 reruai di luar rangkaian Media Prima Berhad turut memeriahkan karnival. Pengunjung boleh meneroka pelbagai jenama, mendapatkan tawaran istimewa dan menyertai aktiviti di reruai sambil meluangkan masa bersama keluarga.
Bagi penggemar kecergasan, Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diadakan pada 29 November. Acara itu melengkapkan siri penganjuran selepas sambutan di Kota Samarahan dan Miri, Sarawak, serta Johor Bahru.
Larian sejauh lima kilometer itu menawarkan jersi rasmi, pingat penamat eksklusif, beg tote, nombor bib dan cenderamata kepada setiap peserta. Sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah turut menanti, selain peluang beramah mesra dengan pelakon drama, personaliti Media Prima dan selebriti popular.
KJH mencatatkan purata kehadiran melebihi 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi dan menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat menerusi hiburan, gaya hidup, aktiviti kekeluargaan serta pengisian komuniti. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Jom Heboh x MSAM 2026.