Lebih 100 sekolah kumpul 500,000 kotak minuman terpakai

Sumber: Harian Metro
Lebih 100 sekolah kumpul 500,000 kotak minuman terpakai
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Lebih 100 sekolah di seluruh negara mengumpulkan kira-kira 500,000 kotak minuman terpakai (UBC) menerusi program MILO® Tenaga Untuk Kebaikan 2026 sepanjang tahun ini, peningkatan hampir 60 peratus berbanding tahun lalu.

Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Pengiktirafan dan Penutupan MILO® Tenaga Untuk Kebaikan 2026 di The Campus, Ampang, baru-baru ini. Program itu memasuki tahun kedua penganjurannya dan bertujuan menggalakkan generasi muda menterjemahkan amalan kitar semula kepada tindakan bermakna.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols berkata, usaha menuju kelestarian memerlukan pembabitan semua pihak. Menurutnya, program itu memberi peluang kepada murid untuk melihat sendiri bagaimana kotak minuman terpakai boleh diproses menjadi perabot bilik darjah dan peralatan sukan.

“Paling penting, mereka dapat mempelajari tindakan kecil yang dilakukan secara bersama oleh sekolah dan komuniti mampu membawa perubahan yang bermakna.

“Justeru, kami berharap pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup lestari dan aktif serta meneruskan amalan tersebut dalam kehidupan seharian, jauh melangkaui alam persekolahan,” katanya.

Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Tetra Pak Malaysia, selari dengan komitmen jangka panjang usaha mengitar semula kotak minuman menerusi Projek CAREton yang digerakkan sejak 2012.

Sehingga kini, MILO® dan Tetra Pak Malaysia mengumpulkan 7,400 tan UBC menerusi Projek CAREton, bersamaan kira-kira 570 juta kotak. Sebahagian bahan itu diproses menjadi produk berguna, termasuk jubin bumbung dan perabot untuk komuniti memerlukan.

Bagi program tahun ini, UBC yang dikumpulkan turut diproses dengan kerjasama Tetra Pak Malaysia, KPT Recycle dan AFN Sports Equipment untuk dijadikan perabot bilik darjah serta peralatan sukan. Antaranya ialah meja pingpong, pagar halangan larian dan podium pemenang.

Menerusi aktiviti interaktif dan praktikal, murid didedahkan kepada manfaat mengitar semula kotak minuman terpakai kepada sekolah, komuniti dan alam sekitar. Usaha itu turut memperkenalkan konsep ekonomi kitaran dan menunjukkan bagaimana amalan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian boleh menyumbang kepada masa depan lebih lestari.

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Ithnin Mahadi berkata program seumpama itu bertepatan dengan usaha memupuk tanggungjawab generasi muda terhadap pemuliharaan alam sekitar. Beliau berkata inisiatif itu melengkapi usaha KPM melahirkan murid seimbang dan holistik, termasuk dari segi tanggungjawab sosial serta keprihatinan terhadap alam sekitar.

“Penyertaan lebih 100 sekolah dan kutipan hampir setengah juta kotak minuman terpakai membuktikan bahawa kejayaan dapat dicapai apabila sekolah, komuniti dan rakan industri berganding bahu ke arah matlamat bersama,” katanya.

Seramai 12 sekolah juara negeri menerima pengiktirafan berdasarkan jumlah kotak minuman terpakai tertinggi yang dikumpulkan di negeri masing-masing. Sekolah terbabit turut berkongsi perjalanan mereka menerusi video penyertaan yang menampilkan kreativiti, semangat berpasukan dan komitmen terhadap amalan kitar semula.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) La Salle dari Wilayah Persekutuan dipilih sebagai Juara Keseluruhan MILO® Tenaga Untuk Kebaikan 2026. Setiap sekolah juara negeri menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000, manakala juara keseluruhan menerima tambahan RM1,000. Murid yang mengambil bahagian turut memperoleh mata kokurikulum.

Pengetua SJKC La Salle, Lye Fei Ching berkata, murid sekolah itu semakin bersemangat menyertai aktiviti kitar semula, saling membantu dan memikul tanggungjawab terhadap tindakan mereka sepanjang program berlangsung.

“Apa yang bermula sebagai aktiviti kitar semula yang mudah berkembang menjadi usaha bersama yang membabitkan murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat.

“Pengalaman ini menunjukkan kepada murid bahawa apabila kita bekerjasama, tindakan kecil mampu membawa perubahan yang bermakna kepada alam sekitar dan komuniti,” katanya.

Majlis penutup di Centre Court, The Campus Ampang itu buat julung kalinya diadakan di luar persekitaran sekolah. Orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif serta kempen pengumpulan kotak minuman terpakai bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan kitar semula.

Maklumat lanjut mengenai program itu boleh diperoleh menerusi www.milo.com.my atau akaun MILO® Malaysia di Facebook dan Instagram (@milo_malaysia).