Seorang kru maut selepas kapal tangki diesel terbalik berhampiran Ibiza

Sumber: Astro Awani
Seorang kru maut selepas kapal tangki diesel terbalik berhampiran Ibiza
Gambar: Astro Awani

MADRID: Seorang anak kapal maut selepas kapal tangki Med Emre yang membawa sehingga 7,000 tan diesel terbalik di perairan kira-kira 46 kilometer dari pantai Ibiza, Sepanyol, selepas kru menghantar panggilan kecemasan pada malam Rabu.

Menurut pihak berkuasa Kepulauan Balearic, kesemua 17 kru kapal berdaftar di Malta itu berjaya diselamatkan. Namun, tujuh daripada mereka dibawa ke hospital dan seorang kemudian disahkan meninggal dunia. Media tempatan melaporkan enam kru yang masih menerima rawatan mengalami kecederaan ringan, termasuk hipotermia.

Pihak berkuasa maritim Sepanyol sedang menilai kemungkinan kesan pencemaran akibat kejadian itu. Usaha pemantauan dijalankan dengan bantuan pesawat serta kapal kawalan pencemaran Clara Campoamor.

Presiden Kepulauan Balearic, Marga Prohens, berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada tumpahan bahan api berlaku. Bagaimanapun, kapten maritim Valencia, Elena Delgado, berkata tompokan kecil yang dikesan berhampiran kapal dilaporkan telah hilang dan keadaan semakin stabil.

Kapal tangki kimia itu dalam perjalanan dari Algeciras ke Barcelona ketika kejadian. Menurut laporan media Sepanyol, kru memaklumkan mengenai kebocoran dan kapal yang senget hampir 90 darjah selepas membuat panggilan kecemasan. Punca kejadian masih dalam siasatan.

Insiden itu menimbulkan kebimbangan terhadap ekosistem marin di sekitar Ibiza, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kawasan berkenaan merangkumi padang rumpai laut Posidonia oceanica, yang penting bagi kelangsungan biodiversiti Mediterranean.