Lima amalan mudah bantu profesional kekal bertenaga

Golongan profesional di Malaysia boleh menyokong tenaga, fokus dan daya tahan dengan mengamalkan beberapa tabiat pemakanan serta gaya hidup sihat, kata Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan, Asia Pasifik, Herbalife, Dr Vipada Sae-Lao.
Beliau berkata, kesibukan kerja, perjalanan ulang-alik yang panjang dan tuntutan untuk sentiasa berhubung boleh menyebabkan amalan sihat diketepikan. Rutin seperti bergegas menghadiri mesyuarat, makan tengah hari di meja kerja dan terus membalas e-mel hingga petang bukan perkara asing bagi ramai pekerja.
Menurut Dr Vipada, tubuh mempunyai keupayaan untuk bertindak balas terhadap penjagaan. Beliau berkata, individu perlu mendengar isyarat tubuh dan membekalkannya dengan nutrien yang diperlukan. Lima amalan yang dikongsinya bertujuan membantu mengembalikan fokus, daya tahan dan tenaga.
Amalan pertama ialah memulakan hari dengan sarapan seimbang. Tubuh memerlukan nutrien untuk membantu menstabilkan tenaga dan meningkatkan fokus ketika menjalani rutin harian. Pengambilan kira-kira 20 hingga 30 gram protein berkualiti boleh diperoleh daripada telur, yogurt Greek, tempe, minuman kisar berprotein, atau lebihan ikan tanpa lemak atau ayam daripada hidangan malam sebelumnya.
Protein membantu mengawal rasa lapar, menyokong kesihatan otot, menstabilkan paras gula dalam darah dan mengekalkan fokus mental. Sarapan itu boleh dipadankan dengan sumber karbohidrat yang baik, termasuk buah-buahan berwarna-warni, sayur-sayuran dan bijirin penuh, untuk mendapatkan serat serta antioksidan.
Amalan seterusnya ialah tidak membiarkan diri terlalu lama tanpa makan. Paras glukosa dalam darah, yang menjadi sumber tenaga utama otak, boleh menurun apabila waktu makan diabaikan. Keadaan itu berpotensi menjejaskan kejelasan pemikiran, memperlahankan proses membuat keputusan dan menyukarkan kawalan emosi.
Hidangan yang mengandungi karbohidrat kompleks, protein tanpa lemak dan lemak sihat mengambil masa lebih lama untuk dihadam, sekali gus membantu mengekalkan ketajaman mental pada waktu petang. Antara pilihan yang dikongsikan ialah nasi beras perang bersama ayam panggang atau ikan, semangkuk tauhu bersama sayur-sayuran hijau, serta sandwic bijirin penuh dengan avokado. Protein dalam hidangan malam pula menyokong pembaikan dan pemulihan otot ketika tidur.
Dr Vipada turut menyarankan amalan makan secara berhemah, bukannya sekadar mengikut trend. Individu boleh memberikan perhatian sepenuhnya kepada hidangan, menikmati setiap suapan, makan perlahan-lahan dan mengunyah dengan baik. Memahami tindak balas tubuh ketika makan secara konsisten membantu seseorang mengenali rasa lapar dan kenyang, seterusnya membuat pilihan lebih bijak tentang jenis serta jumlah makanan.
Pemakanan yang baik perlu disokong aktiviti fizikal, pengambilan air mencukupi dan rehat berkualiti. Senaman, khususnya aktiviti yang meningkatkan kadar denyutan jantung, bukan sahaja membakar kalori, malah membantu mengawal selera makan dan menyokong isyarat semula jadi tubuh terhadap rasa lapar. Aktiviti fizikal berkala juga boleh memudahkan seseorang mengekalkan amalan pemakanan sihat.
Pengambilan air perlu diberi perhatian dalam iklim tropika Malaysia, terutama bagi mereka yang kerap melakukan aktiviti di luar atau berulang-alik ketika cuaca panas. Tidur juga penting untuk prestasi golongan profesional kerana ia menyokong tumpuan, pengawalan emosi, kesihatan sistem imun dan pemulihan fizikal.
Menurut beliau, pilihan mudah yang dilakukan secara konsisten lebih penting daripada intensiti. Antaranya termasuk menambah sumber protein dalam hidangan, menggantikan satu sumber karbohidrat bertapis dengan pilihan lebih berkhasiat, minum segelas air kosong tambahan dan memastikan tidur selama lapan jam.
Beliau juga menyarankan golongan profesional mendekati individu atau rakan yang berkongsi matlamat kesihatan sama dan memahami cabaran untuk makan secara sihat atau bersenam di gimnasium ketika sibuk.