Itali mara ke separuh akhir Piala Davis selepas tewaskan Korea Selatan

Sumber: Harian Metro
Itali mara ke separuh akhir Piala Davis selepas tewaskan Korea Selatan
Gambar: Harian Metro

BOLOGNA: Itali mara ke separuh akhir Piala Davis selepas Matteo Berrettini dan Andrea Vavassori memenangi perlawanan beregu penentuan, sekali gus memastikan kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan, awal pagi tadi.

Juara bertahan tiga kali berturut-turut itu mendahului menerusi Lorenzo Musetti dalam perlawanan perseorangan pembukaan. Bekas pemain nombor lima dunia berkenaan menewaskan Hong Seong-chan, yang berada di ranking ke-787 dunia, 6-0, 7-6 (7/5).

Korea Selatan menyamakan kedudukan selepas Kwon Soon-woo mengejutkan pemain nombor tujuh dunia, Flavio Cobolli, dalam perlawanan tiga set. Cobolli ialah pemain Itali dengan ranking tertinggi yang beraksi dalam kejohanan itu, selepas Jannik Sinner tidak dapat bermain akibat kecederaan.

Berrettini dan Vavassori kemudian memastikan tempat Itali dalam kelompok empat terbaik apabila menewaskan Kwon dan Chung Hyeon dalam perlawanan beregu sengit. Kedua-dua set ditentukan menerusi tie-break, dengan gandingan Itali itu mencatat kemenangan 7-6 (7/2), 7-6 (13/11).

Itali turut menyelamatkan empat mata set pada set kedua sebelum mengesahkan kemenangan. Mereka akan berdepan Republik Czech pada separuh akhir selepas pasukan itu menewaskan Kanada 2-0 dalam aksi suku akhir pertama, semalam.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, Jerman yang diketuai pemain nombor satu dunia, Alexander Zverev, akan menentang Britain hari ini. Sepanyol, yang dibarisi Carlos Alcaraz, pula bakal berdepan Austria.