Itali mara ke separuh akhir Piala Davis selepas tewaskan Korea Selatan

BOLOGNA: Itali, juara bertahan Piala Davis tiga kali, menewaskan Korea Selatan 2-1 pada Rabu untuk melangkah ke separuh akhir. Matteo Berrettini dan Andrea Vavassori memastikan kemenangan tuan rumah apabila mereka memenangi perlawanan beregu penentuan di Bologna.
Itali mendahului selepas bekas pemain nombor lima dunia, Lorenzo Musetti, menewaskan Hong Seong-chan, yang berada di kedudukan ke-787 dunia, 6-0, 7-6 (7/5) dalam perlawanan pembukaan.
Kwon Soon-woo kemudian menghidupkan peluang Korea Selatan dengan kemenangan mengejut dalam perlawanan tiga set menentang pemain nombor tujuh dunia, Flavio Cobolli. Cobolli ialah pemain Itali dengan kedudukan tertinggi dalam ketiadaan Jannik Sinner yang cedera.
Berrettini dan Vavassori menundukkan Kwon serta Chung Hyeon menerusi dua set penentuan tie-break untuk mengesahkan kemaraan Itali. Mereka menyelamatkan empat mata set pada set kedua sebelum menang 7-6 (7/2), 7-6 (13/11).
Itali akan berdepan Republik Czech dalam separuh akhir. Czech mara selepas menewaskan Kanada 2-0 dalam suku akhir pertama pada Selasa.
Satu lagi suku akhir pada Khamis menyaksikan Jerman, yang dibarisi pemain nombor satu dunia Alexander Zverev, menentang Britain. Carlos Alcaraz pula akan mengetuai Sepanyol dalam pertemuan dengan Austria.