Gangguan LRT Kelana Jaya cetus rungutan penumpang waktu puncak

KUALA LUMPUR: Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya meluahkan rasa kecewa berikutan gangguan perkhidmatan pada waktu puncak pagi yang menjejaskan perjalanan mereka ke tempat kerja.
Tinjauan di platform Threads mendapati penumpang mengadu mengenai gangguan dan kelewatan tren, selain penutupan sebahagian laluan platform di sekitar Stesen LRT Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.
Pengguna Threads, anisharina, dalam hantaran pada jam 6.33 pagi memaklumkan gangguan berlaku di jajaran berkenaan. Beliau turut berkongsi gambar kesesakan penumpang di platform menghala ke Putra Heights. “Korang tak payah pergi kerja. LRT ada problem,” katanya.
Seorang lagi pengguna, takmakankatak, menyifatkan laluan itu seolah-olah mempunyai jadual operasinya sendiri, sekali gus menyukarkan urusan harian orang ramai yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk bekerja. Beliau mempersoalkan pilihan yang ada kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya mereka yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari.
“Tidak semua rakyat mempunyai kemampuan untuk beralih kepada kenderaan persendirian atau menanggung kos pengangkutan alternatif,” katanya menerusi siri hantaran di Threads. Menurutnya, bagi sebahagian besar pengguna, LRT bukan sekadar kemudahan awam, sebaliknya menghubungkan mereka dengan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Beliau turut memohon perhatian serta tindakan pihak berwajib, termasuk pengendali perkhidmatan, @myrapidkl dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung masalah itu.
Sementara itu, pengguna vnyxflux_ berkata dia terpaksa menempah perkhidmatan e-hailing selepas lama menunggu tren dalam keadaan berpeluh, sedangkan syif kerjanya bermula jam 7 pagi. Pengguna anazari1999 pula melaporkan Stesen LRT Subang Jaya sudah dipenuhi penumpang, tetapi tren perantara masih belum kelihatan ketika itu.
Gambar yang dikongsi pengguna emeirfaizal menunjukkan platform menuju ke arah Gombak dan Ara Damansara dipasang pita penghadang merah putih pada waktu pagi. Keadaan itu menimbulkan rasa hampa dalam kalangan penumpang yang sedang bergegas ke destinasi masing-masing.
Rata-rata pengguna berharap kecekapan dan konsistensi operasi tren dapat dipertingkatkan segera supaya penumpang tidak terus berdepan tekanan akibat kelewatan perjalanan dan kos tambahan, khususnya pada waktu puncak.