FIFA sahkan serangan siber, lebih 12GB data didakwa dicuri

Sumber: Harian Metro
FIFA sahkan serangan siber, lebih 12GB data didakwa dicuri
Gambar: Harian Metro

ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan menjadi mangsa serangan siber selepas kumpulan penggodam mendakwa mencuri lebih 12 gigabait (GB) data peribadi dan maklumat perniagaan badan induk bola sepak dunia itu.

Kumpulan yang menamakan diri Handsome Boy Hacking Club (HBHC) mendakwa mengakses dan mengambil dokumen dalaman FIFA. Bagaimanapun, jumlah data terbabit dilaporkan kurang daripada 0.1 peratus daripada keseluruhan data yang dimiliki badan itu.

Menurut laporan media, kumpulan berkenaan dipercayai menyamar sebagai kakitangan FIFA untuk mendapatkan akses kepada pelbagai dokumen. Antaranya termasuk maklumat pengenalan diri dan imigresen, butiran eksekutif, rekod kewangan, dokumen perundangan serta rekod tadbir urus dalaman.

Pada 19 November lalu, HBHC memuat naik tangkap layar yang memaparkan fail dipercayai milik FIFA di platform X. Data yang dicuri dilaporkan tidak melibatkan dokumen berkaitan cadangan kontroversi FIFA Forward Enterprise (FFE), yang dibatalkan selepas Piala Dunia tahun ini.

Dalam kenyataan, jurucakap FIFA mengesahkan insiden itu dan berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang.

“FIFA mengesahkan menjadi mangsa serangan siber jenayah yang mengakibatkan akses tanpa kebenaran terhadap sejumlah terhad maklumat peribadi dan perniagaan,” katanya.

FIFA turut mengutuk tindakan mendapatkan dan menerbitkan maklumat secara tidak sah, khususnya data peribadi. Jurucakap itu menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai pencabulan serius dan tidak boleh diterima terhadap privasi, yang boleh membawa kesan besar kepada individu terbabit.