England sasar kemenangan kedua berturut-turut ke atas All Blacks

Sumber: Harian Metro
England sasar kemenangan kedua berturut-turut ke atas All Blacks
Gambar: Harian Metro

LONDON: England akan menentang New Zealand di Twickenham pada Sabtu ini dalam aksi penentuan tempat ketiga Kejohanan Nations, dengan ketua jurulatih Steve Borthwick membuat lima perubahan dalam kesebelasan utama bagi memburu kemenangan kedua berturut-turut ke atas All Blacks.

Pertemuan itu berlangsung seminggu selepas England menewaskan New Zealand 37-12 di gelanggang sama. Kemenangan itu ialah yang terbesar England ke atas gergasi ragbi berkenaan. England menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan hemisfera utara, manakala New Zealand berada di tangga kedua kumpulan hemisfera selatan.

Freddie Steward kembali mengisi posisi pertahanan terakhir dengan jersi nombor 15, menggantikan George Furbank. Tommy Freeman turut kembali memperkuatkan bahagian sayap ketika England memburu kemenangan keenam berturut-turut. Pemain sayap Exeter, Greg Fisilau, pula bakal membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama perlawanan ujian selepas Ben Curry digugurkan ke bangku simpanan.

Tiga perubahan lain dalam barisan hadapan menyaksikan Luke Cowan-Dickie dan Ellis Genge disenaraikan bersama Joe Heyes. Borthwick berkata pemainnya menantikan peluang untuk berdepan New Zealand sekali lagi, namun mereka sedar kualiti dan cabaran yang bakal dibawa lawan di setiap posisi.

“Tumpuan adalah untuk meneruskan momentum persembahan Sabtu lalu, mengekalkan standard yang sudah ditetapkan dan mengulangi tahap permainan sama,” katanya.

Jurulatih New Zealand, Dave Rennie, dijadual mengumumkan senarai pemainnya hari ini. All Blacks berisiko mencatat musim terburuk sejak era profesional ragbi bermula. Jika tewas sekali lagi, rekod Rennie pada tahun pertamanya sebagai ketua jurulatih pasukan itu akan menjadi tujuh kemenangan dan enam kekalahan, pencapaian terburuk New Zealand sejak 1949.