Neow gesa MoU pemindahan Dara, Amoi dan Kelat dinyahklasifikasi

TAIPING: Aktivis kebajikan haiwan, Neow Choo Seong menggesa dokumen memorandum persefahaman (MoU) pemindahan tiga gajah, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun dinyahklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), ketika menyertai himpunan aman di Zoo Taiping dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), di sini, semalam.
Ketua Penerangan Pemuda MCA yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengapa dokumen perjanjian antara zoo berkenaan diklasifikasikan sebagai rahsia sedangkan ia membabitkan kepentingan awam dan khazanah negara.
Beliau berkata, sekiranya ada pihak dalam kerajaan mendesak supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinyahklasifikasi, tiada sebab MoU antara zoo terus dirahsiakan.
Menurutnya, tindakan meletakkan dokumen itu di bawah OSA menimbulkan persoalan mengenai perkara yang cuba disembunyikan pihak berkaitan, khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta MPT.
“Sebelum ini, ada pihak mendesak supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan, kita juga meminta KPKT nyahklasifikasikan dokumen MoU ini. Rakyat berhak mengetahui kandungan MoU, apa yang berlaku, mengapa dan berapa nilai yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika himpunan yang disertai kira-kira 100 peserta itu diadakan di Pavillion Zoo Taiping & Night Safari (Zoo Taiping) dan MPT. Himpunan berkenaan turut menyampaikan memorandum rasmi menuntut tiga gajah itu dibawa pulang ke habitat asal di Malaysia, susulan isu pengabaian kebajikan dan keselamatan haiwan berkenaan.
Neow berkata, timbul dakwaan urusan pemindahan itu membabitkan nilai sehingga puluhan juta ringgit, namun butiran transaksi dan pihak yang menerima manfaat belum didedahkan. Katanya, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengenai kewujudan jejak wang dalam siasatan turut menimbulkan persoalan yang perlu dijawab kerajaan.
Beliau mempersoalkan rasional MPT menggunakan syarikat dari Thailand untuk menguruskan pemindahan gajah berkenaan ke Jepun, termasuk syarikat yang diberikan konsesi bagi urusan itu.
“SPRM sendiri mengakui ada jejak wang membabitkan transaksi, malah jumlah yang disebut bukan sedikit, termasuk puluhan juta ringgit bagi transaksi pertama,” katanya.
Neow turut meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan SPRM. Katanya, selepas suruhanjaya itu dilaporkan menyatakan siasatan hampir selesai dan memerlukan seminggu atau dua minggu lagi, hampir dua bulan berlalu tanpa maklum balas lanjut.
Beliau berkata, rakyat mahu mengetahui tindakan seterusnya dan hasil siasatan itu. Neow juga meminta KPKT dan MPT tidak hanya mengeluarkan kenyataan umum mengenai kesihatan serta kebajikan DAK tanpa penilaian bebas yang mengesahkan keadaan sebenar.
Katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan penghantaran juruaudit bebas ke Tennoji Zoo untuk menjalankan audit forensik terhadap kesihatan, kebajikan dan persekitaran hidup ketiga-tiga gajah itu.