Milei tidak dijemput ke majlis angkat sumpah Lula di Brazil

BRASILIA: Presiden Argentina Javier Milei tidak disenaraikan sebagai tetamu bagi majlis angkat sumpah Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada 5 Januari, menurut sumber kerajaan Brazil pada Khamis, ketika hubungan diplomatik kedua-dua negara tegang.
Lula memenangi penggal keempat dalam pilihan raya pada Oktober selepas menewaskan calon berhaluan kanan Flavio Bolsonaro, sekutu rapat Milei yang berhaluan libertarian. Ketegangan antara Brasilia dan Buenos Aires meningkat selepas Milei menghadiri acara pelancaran pencalonan presiden Bolsonaro pada Julai dan menghamburkan penghinaan terhadap Lula, termasuk menggelarnya “pencuri”.
Brazil kemudian memanggil pulang dutanya dari Argentina dan menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Buenos Aires. Sumber kerajaan Brazil yang bercakap kepada beberapa wartawan dengan syarat tidak dinamakan turut mengesahkan pada Khamis bahawa duta Brazil ke Buenos Aires, Julio Bitelli, tidak akan kembali ke jawatannya.
Menteri Luar Argentina Pablo Quirno memberitahu saluran berita TN bahawa pihaknya belum menerima “pengesahan rasmi” mengenai keputusan itu. Beliau berkata jika Brazil memilih untuk tidak menjemput Argentina, tindakan itu merupakan keputusan unilateral yang berada dalam hak Brazil, namun pada pandangan Argentina, langkah itu tidak membantu memperbaiki hubungan kedua-dua negara.
Milei tidak menyertai pemimpin dunia lain untuk mengiktiraf kemenangan Lula. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, juga tidak mengucapkan tahniah kepada Lula dan menyifatkan pilihan raya itu sebagai “sangat pelik”.
Hubungan Brazil dan Argentina semakin tegang selepas bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro, melarikan diri ke Amerika Syarikat melalui Argentina beberapa hari selepas pilihan raya. Ketika itu, mahkamah telah mengarahkan pasportnya dirampas susulan beberapa siasatan terhadapnya. Brazil kemudian memanggil wakil diplomatik Argentina untuk mendapatkan penjelasan mengenai peranan negara itu dalam pemergian Bolsonaro.