Risiko tugas anggota MPV perlu ditangani dengan latihan dan perlindungan
SHAH ALAM – Serangan terhadap dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dalam kejadian berasingan di Kepong dan Sabak Bernam baru-baru ini menggambarkan risiko tugas mereka sebagai petugas barisan hadapan, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin.
Beliau berkata anggota MPV sebagai petugas pertama yang bertindak perlu memberikan respons pantas, selain berkeupayaan menilai ancaman, mengurus krisis, mengawal emosi dan membuat keputusan tepat dalam situasi kritikal yang sukar dijangka.
Menurutnya, kepantasan sahaja tidak memadai dalam pengurusan krisis. Tindakan anggota perlu disokong kesiapsiagaan tinggi, kecekapan taktikal, komunikasi berkesan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang.
“Insiden sebegini juga perlu dijadikan asas untuk memperkukuh latihan, menilai keberkesanan prosedur operasi, mempertingkatkan aspek perlindungan anggota serta memantapkan mekanisme bantuan sokongan ketika berhadapan dengan situasi berisiko tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam kejadian di Desa Amanpuri, Kepong pada 11 November lalu, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing. Terbaharu, seorang anggota polis cedera di bahagian kiri kepala dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Panjang, Sabak Bernam pada Isnin lalu, melibatkan seorang lelaki yang dipercayai mengamuk.
Noor Hisam berkata anggota barisan hadapan sentiasa mempertaruhkan keselamatan diri demi memastikan keselamatan orang ramai terpelihara. Beliau berkata keseimbangan antara keberkesanan tindakan, profesionalisme serta keselamatan anggota dan masyarakat adalah penting.