Akta jerebu rentas sempadan berdepan cabaran bukti dan diplomasi

Sumber: Harian Metro
Akta jerebu rentas sempadan berdepan cabaran bukti dan diplomasi
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan berdepan cabaran, khususnya apabila pihak yang disyaki terbabit berada di luar bidang kuasa Malaysia, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, sebarang cadangan menggubal undang-undang baharu perlu dinilai secara menyeluruh, termasuk keberkesanan dan kebolehkuatkuasaannya, beban pembuktian, kesan diplomatik serta keserasian dengan undang-undang sedia ada.

Arthur berkata, bukti bahawa jerebu rentas sempadan berpunca dari negara jiran perlu disokong data mencukupi, termasuk peta lokasi, koordinat, maklumat pemilik tanah dan pihak yang beroperasi di kawasan kebakaran.

“Perkara ini membabitkan kerahsiaan maklumat, keselamatan dan kedaulatan negara yang menjadi punca jerebu,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri), yang meminta penjelasan mengenai kesediaan kerajaan mengkaji semula keputusan terdahulu dan menggubal akta khusus berkaitan pencemaran jerebu rentas sempadan.

Tan turut bertanya mengenai mekanisme untuk memastikan individu atau syarikat Malaysia boleh dipertanggungjawabkan jika operasi mereka di luar negara terbukti menyumbang kepada jerebu yang menjejaskan Malaysia.

Arthur berkata kerajaan memandang serius kejadian jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara dan sentiasa meneliti tindakan serta langkah proaktif, termasuk kebolehlaksanaan cadangan penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

Menurutnya, kementerian beberapa kali meneliti kewajaran akta itu daripada pelbagai sudut, termasuk kebolehlaksanaan undang-undang, hubungan diplomatik dengan negara serantau dan pelaksanaan akta seumpamanya oleh negara lain.

Beliau berkata, penelitian itu bertujuan memastikan sumber tidak dibazirkan. Keberkesanan undang-undang, katanya, bukan hanya bergantung kepada kewujudan peruntukan, tetapi juga keupayaan mendapatkan bukti, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak di luar bidang kuasa Malaysia.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) turut meneliti dakwaan syarikat Malaysia mempunyai pemilikan, pelaburan atau hubungan operasi dengan kejadian kebakaran di Republik Indonesia.

“Berdasarkan penelitian setakat ini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan pembabitan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan,” katanya.

Berhubung kebertanggungjawaban industri atau syarikat, Arthur berkata Second ASEAN Haze-Free Roadmap (2023-2030) di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) menyediakan pendekatan yang boleh dilaksanakan negara anggota di peringkat nasional.

Strategi 6.5 dalam Monitoring and Evaluation (M&E) Framework for the Second ASEAN Haze-Free Roadmap (2023-2030), katanya, menggariskan penerimaan dan pelaksanaan dasar nasional, termasuk prinsip ‘polluter-pays’, supaya pihak yang menyebabkan pencemaran dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang serta bidang kuasa negara masing-masing.

Setiap negara anggota ASEAN bertanggungjawab melaksanakan komitmen di bawah AATHP melalui dasar, undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan masing-masing. Perjanjian itu turut menekankan pengukuhan peraturan, kerjasama dan pertukaran maklumat berkaitan penguatkuasaan.

Justeru, tindakan terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran tertakluk kepada undang-undang domestik dan bidang kuasa negara anggota tempat kebakaran serta jerebu berpunca, katanya.

Arthur berkata kerajaan akan menggunakan pengalaman jerebu tahun ini sebagai input untuk menilai semula dan menambah baik pelaksanaan mekanisme sedia ada. Pencemaran rentas sempadan itu memerlukan pendekatan menyeluruh dan tidak boleh diselesaikan hanya melalui penggubalan undang-undang.

Antara langkah segera yang perlu diperkukuh ialah pelaksanaan undang-undang domestik bagi mengekang pembakaran terbuka, perkongsian maklumat dan kerjasama penguatkuasaan antara negara serta pelaksanaan penuh komitmen di bawah AATHP.

“Perkara ini akan disuarakan oleh Malaysia dalam mesyuarat berkaitan jerebu merentas sempadan di bawah AATHP yang akan datang,” katanya.