Zii Jia dan Ling Ching mara ke suku akhir Syed Modi

LUCKNOW: Lee Zii Jia dan Wong Ling Ching mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini, selepas masing-masing meraih kemenangan dalam acara perseorangan.
Zii Jia, pemain profesional negara yang berada di ranking ke-42 dunia, menewaskan pemain kelayakan tuan rumah, Pranay Shettigar, 21-11, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Akademi Badminton Babu Banarasi Das Uttar Pradesh.
Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia kembali menemui rentak selepas tersingkir pada pusingan kelayakan Masters Kumamoto di Jepun awal bulan ini. Pada kejohanan itu, beliau tewas kepada pemain Jepun, Minoru Koga, 15-21, 10-21.
Zii Jia bakal berdepan pemain Perancis, Arnaud Merkle, yang berada di ranking ke-51 dunia, dalam perebutan tempat ke separuh akhir. Kemenangan akan membolehkannya meneruskan momentum positif ketika berusaha mendapatkan semula konsistensi di pentas antarabangsa.
Dalam acara perseorangan wanita, Ling Ching bangkit selepas tewas pada set pertama untuk menundukkan pemain tuan rumah, Tanya Hemanth, 16-21, 21-13, 21-17 dalam tempoh 59 minit. Pemain kelahiran Sarawak itu kini berada di ranking ke-48 dunia.
Ling Ching seterusnya dijadual menentang pemain Thailand, Supanida Katethong, yang berada di ranking ke-26 dunia dan pilihan keempat kejohanan. Beliau memburu kemenangan pertama ke atas Supanida selepas tewas 14-21, 14-21 pada pusingan pertama Masters China, September lalu.
Ling Ching menjadi wakil tunggal negara dalam perseorangan wanita selepas Goh Jin Wei menarik diri ketika menentang pemain India, Tanvi Sharma, pada pusingan pertama.