Restoran China dikecam wajibkan pekerja wanita bersolek ketika bertugas

Sumber: Harian Metro
Restoran China dikecam wajibkan pekerja wanita bersolek ketika bertugas
Gambar: Harian Metro

SHANGHAI: Rangkaian restoran popular Niu New Sukiyaki mencetuskan kontroversi di China selepas mewajibkan pekerja wanita, termasuk cef dan tukang cuci, bersolek ketika bertugas. Peraturan penampilan itu mengundang kecaman kakitangan dan pelanggan, lapor South China Morning Post (SCMP).

Restoran bufet stimbot gaya Jepun yang diasaskan di Shanghai itu sebelum ini mendapat perhatian kerana menyediakan ruang makan mesra ‘introvert’ untuk pelanggan yang datang bersendirian. Ia menawarkan hidangan stimbot individu pada harga purata 150 yuan (kira-kira RM92) seorang, sekali gus menarik ramai pelanggan muda.

Popularitinya turut dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi solo di China. Bancian negara itu pada 2020 merekodkan kira-kira 125 juta penduduk tinggal bersendirian, mendorong perniagaan menawarkan produk dan perkhidmatan untuk golongan berkenaan.

Niu New Sukiyaki kini antara restoran paling sukar ditempah di negara itu, dengan tempoh menunggu dilaporkan mencecah lapan jam. Nombor giliran pelanggan juga dilaporkan dijual semula pada harga sehingga 300 yuan (kira-kira RM185).

Namun, kejayaan rangkaian itu dibayangi kecaman terhadap syarat penampilan pekerja wanita. Mereka diwajibkan memakai solekan, termasuk gincu, pembayang mata, celak dan bulu mata palsu. Menurut media China, Vista Hydrogen Business, pelaksanaan peraturan berbeza mengikut cawangan: ada yang mengenakannya kepada pramusaji sahaja, manakala yang lain mewajibkan semua pekerja wanita bersolek, termasuk cef dan tukang cuci. Pekerja lelaki pula hanya perlu tampil bersih dan kemas.

Kontroversi tercetus selepas seorang pelanggan membuat hantaran dalam talian bagi mempertahankan pramusaji yang keletihan melayani ramai pelanggan, selain perlu bersolek sebelum memulakan tugas. Syarikat menyediakan elaun solekan bulanan sebanyak 100 yuan (kira-kira RM60) kepada pekerja sepenuh masa, namun kakitangan tetap menganggap dasar itu tidak munasabah.

Seorang bekas pekerja mendakwa mereka perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat persiapan sebelum bekerja. Pemohon kerja sambilan dikenali sebagai Linlin pula mendakwa permohonannya ditolak kerana tidak menggunakan penyembur rambut dan kurang mahir bersolek.

Pelanggan turut membantah peraturan itu, dengan berpendapat mutu makanan dan perkhidmatan lebih penting daripada penampilan pekerja. Mereka juga berkata pramusaji tidak sepatutnya diwajibkan kelihatan cantik untuk memenuhi kehendak pelanggan. Niu New Sukiyaki belum memberikan maklum balas terhadap permohonan komen SCMP sehingga laporan itu diterbitkan.