Trump dakwa minta Putin hentikan semua pencerobohan ketenteraan di Eropah
WASHINGTON, 27 Nov (Bernama-dpa) — Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis bahawa beliau meminta Presiden Rusia Vladimir Putin menghentikan “semua pencerobohan ketenteraan” di Eropah. Trump turut menyatakan harapan agar persetujuan antara Rusia dengan Ukraine dapat dicapai dengan “cepat”.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump berkata beliau percaya usaha mencapai persetujuan itu berpotensi besar untuk berjaya. Menurutnya, permintaan kepada Putin dibuat ketika mereka mengadakan perbincangan di China pada minggu lalu.
Trump berkata beliau memaklumkan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte mengenai perbincangannya dengan Putin semasa pertemuan di resort Mar-a-Lago miliknya di Florida pada Rabu.
Menurut kenyataan bersama yang turut disiarkan secara berasingan oleh Trump, pertemuan di Mar-a-Lago itu memberi tumpuan kepada perang di Ukraine dan perang di Iran. Kedua-dua pemimpin turut membincangkan secara mendalam kepentingan Rusia dan Ukraine mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memperluas perang, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Kenyataan itu dibuat selepas pihak berkuasa Poland berkata tiga peluru berpandu kruis memasuki ruang udara negara itu dan terhempas pada Jumaat lalu, ketika serangan udara besar-besaran Rusia ke atas Ukraine, negara jirannya. Tiada kecederaan dilaporkan, manakala Rusia menafikan penglibatan.
Trump berulang kali mempertahankan hubungan rapatnya dengan Putin. Sejak permulaan penggal keduanya, pentadbiran Trump berusaha mengubah peranan Washington daripada sekutu utama Ukraine kepada pengantara antara Kyiv dengan Moscow.
Moscow telah melancarkan perang terhadap negara jirannya itu selama hampir lima tahun.