SpaceX Dibenarkan Lancar Sehingga Sejuta Satelit AI
WASHINGTON, 26 Nov (Bernama-dpa) -- SpaceX mendapat kelulusan untuk melancarkan sehingga satu juta satelit ke orbit Bumi bagi membina pusat data berasaskan angkasa untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI), menurut Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat (FCC) mengumumkan pada Rabu bahawa pihaknya memberi kebenaran kepada projek syarikat itu yang dinamakan “Starmind”.
Pengerusi FCC, Brendan Carr, berkata pemindahan kapasiti pengkomputeran ke luar Bumi memenuhi keperluan semasa, bersama usaha beberapa pesaing yang turut membangunkan pusat data orbit masing-masing.
Penyokong pusat data di angkasa berpendapat kemudahan itu boleh memanfaatkan bekalan tenaga solar yang banyak serta peluang untuk penyejukan di angkasa. Kelulusan itu membuka laluan kepada konsep yang dijadikan antara tumpuan pembentangan Elon Musk, pemilik SpaceX, semasa tawaran awam permulaan syarikat itu.
Bagaimanapun, pembinaan pusat data di angkasa berdepan cabaran teknikal yang besar. Antaranya ialah keperluan panel solar bersaiz besar untuk menjana elektrik, sistem penyejukan canggih serta teknologi yang mampu menghantar sejumlah besar data kembali ke Bumi.
Mengikut syarat kelulusan FCC, SpaceX perlu melancarkan 10 peratus daripada jumlah maksimum satelit yang dibenarkan menjelang November 2035. Jumlah itu perlu meningkat kepada 50 peratus menjelang November 2038.