Projek naik taraf Parlimen RM115 juta siap 17 hari lebih awal

Sumber: Harian Metro
Projek naik taraf Parlimen RM115 juta siap 17 hari lebih awal
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf dan membaik pulih Bangunan Parlimen Malaysia Fasa 2C (II) bernilai RM115 juta disiapkan 17 hari lebih awal daripada jadual sebelum diserahkan kepada Parlimen Malaysia, hari ini. Projek itu siap pada 30 Okt.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerja berkenaan merangkumi dua skop utama. Skop pertama ialah menaik taraf dan membaik pulih Blok Menara, Blok Dewan Persidangan Sementara serta Galeri Parlimen di Blok Utama.

Skop kedua pula melibatkan pembinaan kemudahan baharu, termasuk blok parkir tiga tingkat serta kawasan letak kenderaan terbuka dan berbumbung. Kemudahan itu menyediakan 332 petak kereta, 239 petak motosikal dan tiga petak bas.

Kerja pembinaan turut merangkumi Pondok Pengawal 2, Pintu Pagar 2, laluan pejalan kaki berbumbung dan pintu pagar utama. Projek itu dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perdana Menteri, Parlimen Malaysia, Jabatan Warisan Negara dan pihak industri.

Nanta berkata, kemudahan yang dinaik taraf akan menyokong urusan persidangan serta tugas harian warga Parlimen. Kemudahan parkir dan laluan pejalan kaki berbumbung juga memudahkan pergerakan warga Parlimen dan pelawat di dalam kompleks itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan projek berkenaan di Dewan Serbaguna, Bangunan Parlimen. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) itu mempunyai tujuh fasa utama, iaitu Fasa 1A, 2A, 2B, 3A, 3B, 2C (I) dan 2C (II), dengan kos siling asal RM520 juta. Semua fasa dilaksanakan secara konvensional, dengan Bahagian Pengurusan Projek 4, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) sebagai pengurus program dan pasukan Pereka Bentuk (HODT), manakala Blackfox Engineering Sdn Bhd ialah kontraktor utama.

Nanta berkata, kerja naik taraf dan baik pulih mengambil kira status Bangunan Parlimen sebagai warisan kebangsaan. Pelaksanaannya berpandukan keperluan pemuliharaan bangunan warisan, termasuk memberi perhatian kepada pemeliharaan bahan binaan dan unsur seni bina asal.

Beliau turut meminta kontraktor terus memenuhi tanggungjawab sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan mengikut kontrak. Aduan mengenai kecacatan, katanya, perlu disemak segera dan kecacatan yang dikenal pasti hendaklah dibaiki berdasarkan ketetapan kontrak.

Sementara itu, Johari berkata, beberapa penambahbaikan kemudahan Parlimen sedang dibincangkan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya susulan pemberian autonomi kepada institusi itu mulai 1 Okt. Kementerian Ekonomi pada dasarnya bersetuju dengan cadangan penambahan kemudahan berkenaan, manakala perbincangan lanjut sedang dijalankan untuk memuktamadkannya menerusi penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang dijangka bermesyuarat pada awal tahun depan.

Johari berkata, pihaknya berharap tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik menerusi status autonomi itu. Beliau turut memaklumkan bangunan untuk persidangan Parlimen Belia sudah siap dibina dan akan mula berfungsi pada 1 Jan 2027, dengan institusi itu melibatkan penyertaan 222 ahli.