Cadangan tarif baharu AS tekan pasaran, China dikenakan kadar tertinggi
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu mengumumkan cadangan tarif baharu terhadap 14 rakan dagang utama, termasuk China dan Kesatuan Eropah (EU), dengan alasan lebihan pengeluaran memberikan kelebihan tidak adil kepada negara berkenaan.
Cadangan itu menyusuli siasatan selama lapan bulan terhadap amalan perdagangan 12 negara, EU yang mempunyai 27 anggota serta Taiwan. Siasatan dilancarkan selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif global Trump yang meluas pada Februari.
Kadar tertinggi yang diumumkan akan dikenakan ke atas China, iaitu 20 peratus. Levi itu akan ditambah kepada duti kira-kira 25 peratus yang dikenakan Trump terhadap China ketika penggal pertamanya.
Bagaimanapun, tarif yang dicadangkan tidak meliputi kira-kira AS$30 bilion import China yang sedang dipertimbangkan untuk pengurangan duti melalui mekanisme dua hala dikenali sebagai Lembaga Perdagangan.
Washington sekian lama menuduh China memberi subsidi kepada industri dan membanjiri pasaran dunia dengan eksport berkos rendah, termasuk keluli, kenderaan elektrik dan produk solar. Beijing sekali lagi menafikan dakwaan itu.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata isu “lebihan kapasiti” yang didakwa itu adalah palsu dan China membantah penggunaannya sebagai alasan untuk manipulasi politik. Beliau turut menggesa dua ekonomi terbesar dunia itu mengekalkan hubungan yang stabil.
Rakan dagang AS lain yang berdepan cadangan tarif baharu ialah India, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Malaysia, Singapura, Switzerland, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Mexico dan Norway turut terlibat dalam siasatan, tetapi dikecualikan daripada pusingan tarif baharu kerana siasatan terhadap amalan perdagangan mereka masih berjalan.
Siasatan itu dimulakan oleh Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974. Peruntukan itu membolehkan presiden mengenakan cukai import dan sekatan lain terhadap negara yang didapati mengamalkan perdagangan tidak munasabah atau diskriminasi.
Gregory Shaffer, profesor undang-undang antarabangsa di Pusat Undang-undang Universiti Georgetown, memberitahu Al Jazeera bahawa penggunaan Seksyen 301 oleh pentadbiran itu bersifat sinis. Beliau berkata siasatan berkenaan bertujuan menyokong hasrat presiden menetapkan tarif secara global dan mengubahnya pada bila-bila masa, sekali gus mengetepikan kuasa Kongres untuk menetapkan kadar tarif di bawah kuasa percukaian yang termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam pengumuman berasingan, Rumah Putih turut mencadangkan tarif 10 peratus terhadap pesawat siap yang dikeluarkan Embraer, pengeluar pesawat Brazil. Jet syarikat itu digunakan secara meluas oleh syarikat penerbangan serantau AS yang beroperasi di bawah jenama termasuk United Express, Delta Connection dan American Eagle.
Pesawat siap ialah eksport keempat terbesar Brazil ke AS. Seorang pegawai kanan AS berkata Washington juga merancang menaikkan duti bagi import gula Brazil yang melebihi kuota, sebagai sebahagian usaha mendesak Brasilia membetulkan amalan perdagangan tidak adil yang didakwa.
EU berkata pihaknya mengambil maklum dapatan awal AS dalam siasatan Seksyen 301 berhubung lebihan kapasiti struktur dalam sektor pembuatan. Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Olof Gill, berkata EU akan meneliti dapatan itu, namun menolak dakwaan bahawa Eropah menjadi punca lebihan kapasiti struktur.
Sebaliknya, Gill berkata Eropah antara pihak yang paling terdedah kepada lebihan kapasiti. Kerajaan Switzerland pula menyatakan penolakan terhadap dakwaan yang timbul daripada siasatan berkenaan.
Rachel Ziemba, felo kanan tambahan di Pusat Keselamatan Amerika Baharu, berkata masa pengumuman itu menjelang sidang G20 pada pertengahan Disember membuka peluang rundingan dalam pertemuan berkenaan. Namun, beliau memberi amaran ia turut meningkatkan risiko tekanan inflasi dan ketidaktentuan makroekonomi pada 2027, sekali gus mengurangkan sebahagian manfaat daripada penurunan harga gas.
Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata negaranya tidak mempunyai dasar yang menyumbang kepada lebihan kapasiti dan syarikat Norway menghasilkan barangan mengikut permintaan pasaran.
Pasaran AS bergerak menurun selepas pengumuman tarif itu. Indeks Nasdaq yang sarat dengan saham teknologi merosot 3.9 peratus pada awal dagangan Rabu, manakala S&P 500 susut 2.8 peratus dan Dow Jones Industrial Average jatuh 1.4 peratus.
Harga emas, yang dianggap pelaburan selamat ketika ketidaktentuan ekonomi, turun lebih 3 peratus ke paras terendah dalam tempoh lebih setahun. Selain tarif, pergerakan harga itu turut dipengaruhi data inflasi yang dikeluarkan pada Rabu.
Data berkenaan menunjukkan kenaikan 0.3 peratus bagi salah satu ukuran utama Rizab Persekutuan AS untuk menilai kadar inflasi. Inflasi lebih tinggi meningkatkan kemungkinan kadar faedah dinaikkan, yang seterusnya memberi tekanan kepada harga emas.
Hasil bon di AS dan Eropah turut turun pada Rabu. Hasil bon Jerman 10 tahun, penanda aras bagi zon euro, susut 4.5 mata asas kepada 3.2 peratus, manakala hasil nota Perbendaharaan AS 10 tahun merosot 6.8 mata asas kepada 4.834 peratus.
Hasil bon AS itu berada di landasan untuk mencatat penurunan harian ketujuh dalam lapan sesi dagangan terakhir.