RAF dilapor pindahkan pesawat ke hangar susulan risiko serangan dron
LONDON: Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dilaporkan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan serangan dron, termasuk memindahkan pesawat ke hangar dan tempat perlindungan pesawat yang diperkukuh pada waktu malam. Laporan The Times dan Sky News pada Rabu turut menyebut pemasangan jaring antidrone bagi melindungi pesawat yang masih terdedah.
Kementerian Pertahanan Britain (MoD) tidak mengesahkan laporan itu. Bagaimanapun, kementerian berkenaan berkata pihaknya memandang serius keselamatan pangkalan, peralatan dan anggota, selain sentiasa menyesuaikan langkah untuk menangani sebarang potensi ancaman.
Justin Bronk, penyelidik kanan di badan pemikir Royal United Services Institute (RUSI) di London, memberitahu Al Jazeera bahawa tindakan yang dilaporkan itu merupakan tindak balas munasabah jika risikan menunjukkan ancaman dron berkemungkinan berlaku.
Beliau berkata pangkalan utama yang digunakan jet pejuang RAF, iaitu Coningsby, Marham dan Lossiemouth, masih mempunyai tempat perlindungan pesawat diperkukuh dari era Perang Dingin. Kemudahan itu diselenggara supaya boleh digunakan untuk menyimpan dan melindungi pesawat, serta menjalankan kerja penyelenggaraan terhad.
Namun, Bronk berkata jumlah tempat perlindungan itu tidak mencukupi untuk melindungi semua jet di setiap pangkalan udara. Selepas Perang Dingin, skuadron disatukan di pangkalan besar, manakala perlindungan seumpama itu dianggap tidak lagi penting, suatu andaian yang disifatkannya sebagai tersilap.
MoD berkata kerajaan melabur tambahan 470 juta pound ($615 juta) bagi memperkukuh keselamatan di tapak ketenteraan, termasuk melalui perlindungan fizikal, pengawasan dan keupayaan menangani dron yang lebih baik. Sebanyak 15 juta pound ($19.6 juta) telah dibelanjakan untuk teknologi dron dan antidrone, manakala ruang udara terhad diperkenalkan di atas 44 tapak kritikal pertahanan.
Pihak berkuasa Britain berulang kali memberi amaran mengenai ancaman daripada Rusia dan Iran, sementara kerajaan menggesa negara itu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan. Dalam laporan pada Oktober, anggota Parlimen memberi amaran bahawa tentera Britain perlu membuat kemajuan besar untuk bersedia menghadapi kemungkinan serangan Rusia terhadap negara anggota NATO.
Pada Selasa, perkhidmatan risikan domestik Britain, MI5, dan MoD mengeluarkan amaran bersama kepada pembekal ketenteraan Britain yang membekalkan Ukraine, mengenai peningkatan cubaan sabotaj oleh Rusia.
Bronk berkata pesawat di dalam hangar biasa atau tempat perlindungan pesawat diperkukuh terlindung daripada serangan oleh sel musuh yang menyusup masuk atau pengganas menggunakan dron kecil. Namun, hanya pesawat di tempat perlindungan diperkukuh dapat dilindungi daripada dron serangan sehala yang lebih besar, seperti siri Geran 2/3/4, dalam kemungkinan serangan ketika perang.
Dron Geran itu dikeluarkan dan dikendalikan Rusia berdasarkan reka bentuk asal Iran. Bronk berkata walaupun tempat perlindungan pesawat diperkukuh mungkin kelihatan ketinggalan zaman, kemudahan itu ialah cara berisiko rendah, murah dan berkesan untuk meningkatkan daya tahan armada jet pejuang ketika perang.
Beliau berkata struktur konkrit tebal dan pintu letupan memberikan perlindungan hampir sepenuhnya daripada dron. Kemudahan itu juga bermakna peluru berpandu kruis yang tidak dipintas hanya dapat memusnahkan satu jet paling banyak jika terkena secara langsung.
Awal bulan ini, tentera Amerika Syarikat bertindak balas terhadap kemungkinan kegiatan dron tanpa kebenaran di sebuah pangkalan tentera di Britain yang menempatkan pesawat perang Amerika. Jurucakap Tentera Udara Amerika Syarikat berkata tiada anggota, pesawat atau infrastruktur terjejas di pangkalan RAF Lakenheath di timur England.
Pada 27 September, satu insiden keselamatan dikaitkan dengan Iran berlaku di pangkalan RAF Fairford di barat daya England, yang digunakan pesawat Amerika. Sekumpulan lelaki didakwa memandu tiga van ke sebuah kampung berhampiran tapak itu sebelum meninggalkannya dengan tong petrol berisi di dalam, mencetuskan kebimbangan bom dan pemindahan.
Washington menggunakan pangkalan udara itu dalam perang terhadap Iran. Beberapa hari selepas kejadian September, semua pesawat pengebom B-1 Amerika ditarik keluar dari pangkalan berkenaan. Dua lelaki kemudian didakwa di mahkamah Britain berhubung insiden itu, manakala tiga lagi didakwa di Amerika Syarikat.
Tentera Amerika juga mengeluarkan pesawatnya dari RAF Mildenhall, berhampiran Lakenheath, pada 9 November susulan ancaman daripada Iran, menurut The Wall Street Journal dan The Financial Times.