Myanmar giat kempen kesiapsiagaan hadapi kemarau akibat El Nino
PHNOM PENH, 26 Nov — Myanmar mengadakan kempen kesedaran di kampung-kampung bagi membantu penduduk bersiap sedia menghadapi kemarau teruk dan kekurangan air dalam beberapa minggu akan datang susulan El Nino.
The Global New Light of Myanmar melaporkan Kementerian Koperasi dan Pembangunan Luar Bandar baru-baru ini mengadakan beberapa sesi kesedaran di wilayah Bago utara, negeri Kayin, Nay Pyi Taw, negeri Shan dan wilayah Yangon.
Pegawai menggesa masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga terhadap cuaca kering, menjimatkan air terutama air minuman, serta berwaspada terhadap penyakit berkaitan cuaca panas. Petani pula dinasihatkan membuat persediaan bagi kemungkinan gangguan terhadap kegiatan pertanian dan penternakan ketika musim panas dan kering.
“Pada masa ini, fenomena Super El Nino sedang berlaku, menyebabkan keadaan cuaca tidak normal. Memandangkan Myanmar ialah negara berasaskan pertanian, ketidaknormalan iklim boleh memberi kesan buruk kepada kegiatan pertanian,” kata Presiden Myanmar Min Aung Hlaing ketika berucap di Pyidaungsu Hluttaw (Perhimpunan Kesatuan) pada 18 Nov.
Dalam laporan November, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyenaraikan Myanmar sebagai antara negara yang paling mendesak diberi perhatian di rantau Asia Pasifik dalam tempoh dua bulan akan datang. Kebimbangan itu timbul ketika negara berkenaan berdepan tekanan gabungan El Nino serta kenaikan harga makanan dan bahan api.
Negara lain yang dikenal pasti terdedah termasuk Filipina, Timor-Leste, Papua New Guinea dan Tonga. Di Myanmar, kawasan pesisir pantai termasuk Yangon, Myeik, Dawei dan kawasan pantai selatan yang lebih luas berdepan risiko khusus. Zon delta seperti wilayah Ayeyarwady dan wilayah Bago bawah turut dikenal pasti sebagai kawasan yang mudah terjejas.
Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar sebelum ini meramalkan El Nino akan bertambah kuat sekitar Oktober dan November, dengan kemungkinan membawa hujan tidak menentu serta suhu lebih tinggi.
Sebagai sebahagian daripada kempen kesiapsiagaan, pegawai turut menggesa penduduk kampung memaksimumkan simpanan air di takungan, menyediakan bekalan makanan tidak mudah rosak dan mengambil langkah mencegah tekanan haba, dehidrasi serta strok haba, menurut media negara itu.