Gordon Ramsay bakal kendalikan Top Gear apabila kembali pada 2028

Sumber: Bernama English

ISTANBUL, 26 Nov — Cef selebriti Britain, Gordon Ramsay, akan mengetuai barisan penyampai baharu rancangan permotoran BBC, Top Gear, yang dijadual kembali ke kaca televisyen pada 2028 selepas tidak bersiaran sejak 2022.

BBC mengumumkan pelantikan itu pada Rabu. Ramsay, 60, yang juga personaliti televisyen, akan bergandingan dengan penyampai lain yang identitinya belum didedahkan. Penggambaran program berkenaan dijadual bermula pada 2027.

Ramsay berkata beliau mahu membawa “a fresh energy and ambition” kepada rancangan itu, sambil mengekalkan ciri Top Gear yang “surprising, entertaining and just the right amount of chaos.”

Top Gear tidak bersiaran sejak Disember 2022, selepas bekas penyampainya, Andrew “Freddie” Flintoff, mengalami kecederaan serius pada muka dan tulang rusuk. Insiden itu berlaku ketika kereta tiga roda tanpa bumbung yang dipandunya terbalik semasa penggambaran di litar ujian rancangan tersebut.

BBC menghentikan produksi selepas kemalangan itu. Pada November 2023, penyiar berkenaan mengumumkan bahawa program itu akan direhatkan untuk tempoh yang belum ditetapkan.

Dilancarkan pada 1977 sebelum dihidupkan semula dalam format moden pada 2002, Top Gear menjadi antara program antarabangsa BBC yang paling berjaya. Program itu mencapai kejayaan tersebut ketika dikendalikan Jeremy Clarkson, Richard Hammond dan James May.

Barisan penyampai terkini sebelum rancangan itu dihentikan terdiri daripada Flintoff, Paddy McGuinness dan Chris Harris. Identiti pengacara yang akan menyertai Ramsay dalam edisi baharu masih belum diumumkan.