AFP tutup platform kandungan susulan serangan siber
Agensi berita antarabangsa Agence France-Presse (AFP) yang berpangkalan di Paris menutup platform kandungannya, AFP Forum, selepas diserang siber pada Khamis, menurut pihak pengurusan agensi itu.
Serangan bermula pada 1.30 pagi waktu Paris dan menyasarkan AFP Forum, platform yang digunakan pelanggan untuk melihat serta memuat turun kandungan agensi berkenaan. Anadolu Ajansi melaporkan perkara itu dengan memetik e-mel dalaman pihak pengurusan AFP.
Pihak pengurusan berkata pasukan AFP bertindak sejurus pencerobohan itu dikesan bagi membendungnya. AFP Forum kemudian ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dan kekal tidak dapat diakses sehingga diberitahu kelak.
AFP turut menyediakan penyelesaian alternatif kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatannya sementara platform itu tidak boleh digunakan.
Siasatan sedang dijalankan dengan bantuan pakar luar. Pihak agensi berkata setakat ini, mereka tidak mempunyai maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Serangan siber tersebut berlaku ketika beberapa syarikat dan institusi awam di Perancis serta negara lain berdepan siri insiden serupa dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Sebahagian serangan dikaitkan dengan kumpulan jenayah yang mencari keuntungan kewangan, manakala yang lain bertujuan mencetuskan ketidakstabilan.