Gitaris Duran Duran Andy Taylor meninggal dunia pada usia 65 tahun
LONDON, 26 Nov — Bekas gitaris Duran Duran, Andy Taylor, meninggal dunia pada usia 65 tahun selepas lama menghidap kanser prostat, menurut pengumuman kumpulan itu yang dilaporkan PA Media/dpa.
Taylor meninggal dunia di rumah pada Isnin, dikelilingi keluarganya. Beliau dikenali sebagai anggota kumpulan rock yang meraih populariti pada 1980-an menerusi lagu seperti *Hungry Like The Wolf* dan *Rio*.
Isterinya, Tracey Wilson, yang telah lebih 40 tahun berkahwin dengannya, berkata bagi peminat Taylor ialah seorang gitaris hebat, namun bagi keluarga beliau merupakan suami yang penyayang, bapa yang baik dan datuk yang amat bangga dengan cucu-cucunya.
Wilson berkata Taylor menjadi tonggak keluarga mereka dan, walaupun muzik membawanya melalui pelbagai pengalaman, keluarga sentiasa menjadi keutamaan. Beliau berkata Taylor paling gembira apabila seluruh keluarga dapat berkumpul, dan hatinya sentiasa di rumah sejauh mana pun muzik membawanya.
Menurut Wilson, Taylor menghadapi beberapa tahun terakhir dengan keberanian dan keazaman yang tinggi, serta berjuang hingga ke penghujung hayat tanpa kehilangan minat terhadap kehidupan. Sokongan peminat dari seluruh dunia ketika beliau sakit, katanya, memberikan keselesaan dan kekuatan kepada Taylor.
Wilson berkata keluarga berasa terhibur kerana Taylor mengetahui betapa dirinya disayangi. Beliau menambah bahawa keluarga akan merinduinya setiap hari.
Dalam kenyataan bersama, rakan sekumpulan Simon Le Bon, John Taylor, Nick Rhodes dan Roger Taylor berkata Andy berada bersama mereka sejak permulaan perjalanan Duran Duran dan kembali menyertai kumpulan itu apabila lima anggota asalnya bersatu semula pada awal 2000-an.
Kumpulan itu berkata Taylor tiba di Birmingham dari North East dengan gitar serta keyakinan teguh terhadap potensi mereka. Permainan gitarnya menggerakkan lagu-lagu yang membawa kumpulan itu ke seluruh dunia, manakala sifatnya yang berterus terang dan jenaka kering membantu memastikan mereka kekal berpijak di bumi nyata.
Penyanyi utama kumpulan itu, Le Bon, berkata pemergian Taylor meninggalkan ruang besar dalam hatinya yang tidak akan tertutup. Beliau berkata akan merindui dan menyayangi Taylor sepanjang hayatnya.