Kebakaran lori tangki bahan api di Giza ragut 30 nyawa
KAHERAH, 26 Nov — Seramai 30 orang maut manakala 15 lagi cedera dalam kebakaran lori tangki bahan api di Gabenor Giza, Mesir, pada Rabu, menurut Emirates News Agency (WAM).
Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir berkata kebakaran berlaku di atas Terowong 10, di daerah Warraq, Imbaba. Sebanyak 39 ambulans dihantar ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital untuk rawatan.
Mangsa cedera dihantar ke Hospital Pakar Sheikh Zayed, Hospital Besar Imbaba dan Hospital Pusat Warraq. Kementerian tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan mereka.
Menteri Kesihatan dan Penduduk Khaled Abdel-Ghaffar mengarahkan supaya tahap kesiapsiagaan ditingkatkan di bilik pengurusan krisis pusat kementerian serta hospital berhampiran lokasi kejadian.
Beliau turut mengarahkan dua timbalannya melawat tempat kejadian dan hospital yang menerima mangsa bagi memantau tindak balas kecemasan.
Kementerian berkata pihaknya terus mengikuti perkembangan kejadian dan berkoordinasi dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan mangsa yang cedera menerima rawatan perubatan sewajarnya. Kementerian turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang maut serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.